KUALA LUMPUR – Rasionalisasi subsidi bagi RON95 serta langkah meluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumum dalam Bajet 2025 akan membantu mengekalkan kedudukan kewangan kerajaan.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan ternyata mengambil berat dalam pendekatannya untuk memastikan defisit fiskal akan dikurangkan secara beransur-ansur.
“Skop untuk SST akan diperluaskan termasuk cukai jualan ke atas import barangan bukan keperluan dan skop cukai perkhidmatan akan merangkumi perkhidmatan komersial manakala subsidi RON95 akan dirasionalkan pada pertengahan 2025.
“Pada masa yang sama, peruntukan untuk program pemindahan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan daripada RM10 bilion kepada RM13 bilion manakala gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 pada 1 Februari 2025.
“Pelebaran skop SST dijangka menghasilkan kutipan yang lebih tinggi sebanyak RM47 bilion pada 2025 daripada anggaran RM41 bilion pada 2024.
“Dengan mengandaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang antara 4.5% dan 5.5% pada 2025, kerajaan sepatutnya dapat mengutip lebih banyak cukai dan seterusnya mengurangkan defisit fiskal,” katanya kepada Scoop.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2025 di Parlimen semalam, yang juga tertinggi pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Anwar berkata, kerajaan terus mengekalkan belanjawan mengembang meskipun bertekad mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.
Selain peruntukan pembangunan oleh kerajaan, projek secara usaha sama awam-swasta (PFI) bernilai RM9 bilion turut dilaksanakan serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat GLIC bernilai RM25 billion.
Ini menjadikan pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 yang berjumlah RM120 bilion.
“Kerajaan terus komited untuk mengurangkan kadar defisit secara konsisten daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.8% tahun depan. Hutang akan terus meningkat selagi tidak dikurangkan defisit,” katanya.
Sementara pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Emeritus Barjoyai Bardai berkata, penerima faedah terbesar berkait pengumuman gaji minimum yang dinaikkan RM1,700 adalah pekerja asing.
“Sebab kakitangan kerajaan gaji minimum akan dinaikkan kepada RM2,100, manakala kakitangan swasta sesetengahnya menghadapi masalah sebab majikan mereka adalah peniaga mikro (mempunyai kurang daripada lima pekerja).
“Malah dalam sektor pelancongan, gaji pekerja masih RM1,200 sampai hari ini sebab mereka dikecualikan,” katanya.
Beliau berkata, namun belanjawan kali ini dilihat komprehensif dan cuba meliputi semua aspek.
“Perubahan besar memperkenalkan cukai dividen. Ini saya rasa permulaan baharu, kita akan melihat dividen akan menjadi sumber cukai yang besar dalam masa panjang selain cukai keuntungan modal yang diperkenal tahun lalu.
“Ini akan jadi asas yang penting untuk jangka masa panjang,” katanya.
Sementara itu, pembangkang mengakui Bajet 2025 banyak mengetengahkan pelbagai inisiatif baik, tetapi mahu dokumen perbelanjaan negara itu diperincikan bagi membolehkan rakyat lebih memahaminya.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana ada beberapa perkara yang tidak diperincikan dengan jelas, dikhuatiri akan menyukarkan pelbagai pihak memahaminya dengan lebih mendalam.
“Pengenalan subsidi bersasar bagi RON95, katanya, perlu diperjelas secara terperinci memandangkan pelaksanaannya akan memberi kesan rantaian ekonomi negara.
“Pelaksanaan inisiatif itu perlu dikaji semula dengan menitikberatkan kesan menyeluruh, termasuk beban yang akan ditanggung rakyat.
“Bagaimanapun, sudah pasti ada yang baik dalam Belanjawan 2025 dan ada beberapa inisiatif diumumkan yang perlu kita iktiraf. Ia adalah inisiatif yang baik.
“Contohnya, saya amat berminat dengan inisiatif keluarga memiliki anak autistik. Perkara ini sudah lama dibangkitkan dan bantuan diumumkan adalah baik bagi saya.
“Ada juga program bantuan lain yang saya suka (seperti) insentif pelepasan kepada Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Ia antara perkara diperjuangkan ketika saya di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dulu,” katanya. – 19 Oktober, 2024