KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebahagian cadangan bagi meluaskan asas cukai secara progresif.
“Ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit.
“Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan Kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amanah saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan pendapatan dividen dari luar negara,” katanya ketika membentangkan Bajet 2025 di Parlimen hari ini. – 18 Oktober, 2024