KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu enam lagi premis di sekitar Lembah Klang, berkait siasatan rasuah konsesi pasir.
Menurut sumber, serbuan itu dijalankan di sebuah kediaman dan lima unit pejabat.
Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan premis yang diserbu oleh SPRM dalam siasatan kes rasuah itu adalah sembilan lokasi, menerusi tiga serbuan.
“Semua premis yang digeledah tidak disita,” katanya kepada Berita Harian.
Dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri pada Ahad lalu, sejumlah wang asing bernilai kira-kira RM5 juta telah ditemui, yang didakwa dijadikan tempat simpanan atau ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh.
Dua suspek termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) yang didakwa ada kaitan dengan ahli politik terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor ditahan.
Susulan serbuan terbabit, pada keesokannya SPRM telah menggeledah dua lagi premis di Lembah Klang yang dijadikan ‘safehouse’ dan merampas wang tunai berjumlah RM321,000.
Setakat ini empat orang ditahan dan SPRM mengambil keterangan membabitkan 15 saksi.
Mereka yang ditahan membabitkan seorang pengarah syarikat, seorang bekas eksekutif kanan di MBI berusia 45 tahun, bekas pemandu berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 46 tahun yang juga bekas pegawai kewangan. – 16 Oktober, 2024