Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
11 laluan utama di ibu kota terjejas teruk akibat hujan lebat | Scoop

11 laluan utama di ibu kota terjejas teruk akibat hujan lebat

Sehingga jam 10.45 pagi, semua laluan utama di pusat bandar telah dibuka kecuali di Jalan Rahmat ditutup satu hala dan pihak DBKL juga mengaktifkan dua pam statik di Jalan Sultan Azlan Shah

2:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hujan lebat yang berterusan sejak jam 8.30 pagi tadi dengan taburan hujan yang sangat tinggi melebihi 60 mm per jam telah menyebabkan 11 kawasan di ibu kota dinaiki air.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataannya memaklumkan, keadaan itu mengakibatkan limpahan sungai utama iaitu di sini iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Jelasnya, kawasan-kawasan yang terjejas ialah Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn) dan Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Travers, Jalan Damansara (bawah jejambat Semantan).

Turut terjejas Jalan Ledang, Jalan Segambut, Jalan Genting Klang (berhadapan Shell dan Universiti Tunku Abdul Rahman), Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan (Petaling Street).

“Kejadian tersebut berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi iaitu melebihi 60 mm per jam di mana bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar adalah melebihi 114 mm per jam.

“Petugas DBKL telah turun ke lapangan bagi memastikan situasi di kawasan tersebut dalam keadaan terkawal.

“Kerja-kerja yang dijalankan adalah seperti penyuraian trafik bagi membantu melancarkan pergerakan aliran trafik. Setakat jam 10.45 pagi, semua laluan utama di pusat bandar telah dibuka kecuali di Jalan Rahmat ditutup satu hala dan pihak DBKL juga mengaktifkan dua pam statik di Jalan Sultan Azlan Shah,” katanya.

Selain itu, katanya, tiga pam mudah alih telah dibawa masuk bagi menyedut air yang bertakung sekitar bulatan Dato Onn yang dinaiki air dan keadaan kembali normal pada jam 9.18 pagi.

“Kerja-kerja pembersihan di sekitar Jalan Parlimen telah selesai dilaksanakan oleh DBKL manakala kerja-kerja pembersihan di Jalan Sultan masih dijalankan.

“Berdasarkan tindakan proaktif yang telah diambil DBKL, majoriti kawasan dinaiki air yang terlibat dapat dikawal dan air yang bertakung telah surut dalam tempoh 30 minit,” katanya.

Bagaimanapun, DBKL menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati apabila melalui kawasan dinaiki air yang belum surut sepenuhnya.

Sementara itu, paras air yang meningkat di pintu utama Universiti Malaya (UM) dilaporkan sudah kembali surut sejak jam 12 tengah hari.

Menurut sumber, semua pelajar dalam keadaan selamat dan proses pengajian berjalan seperti biasa.

“Air semakin surut dan keadaan semakin pulih. Kelas masih diteruskan namun ada sebahagian pensyarah meminta diadakan kelas secara online.

“Buat sementara waktu, perkhidmatan bas (dalam kampus) ditangguhkan dan pelajar menggunakan payung berjalan kaki ke kelas-kelas,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan pintu masuk utama UM yang terletak berhampiran Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Sains dinaiki air susulan banjir kilat yang berlaku di ibu kota pagi tadi.

Sehubungan itu, pihak pengurusan UM telah mengaktifkan laluan alternatif untuk kegunaan tenaga pengajar dan pelajar. – 15 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related