SHAH ALAM – Pengarah salah sebuah anak syarikat Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISB), Khaulah Ashaari mendakwa pengikut kumpulan itu tidak mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiyah yang diisytihar sesat sebelum ini.
Khaulah, 38, yang juga anak kepada pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad berkata, fokus GISB lebih kepada aktiviti perniagaan yang dijalankan.
“Mengenai amalan yang diperkatakan, memang GISB konsisten untuk tidak lagi mengamalkan apa-apa ajaran yang dikatakan sesat atau salah.
“Mungkin ada juga tahu kita (GISBH) mengikuti kursus pihak berkuasa termasuk jabatan agama dan turut ikut proses istitabah (bertaubat) yang dikendalikan Jabatan Mufti Selangor.
“Kita juga berkomitmen tidak mengamalkan apa-apa yang dilakukan sebelum ini di zaman Al-Arqam selain sentiasa dipantau jabatan agama untuk dipastikan tidak ada pengulangan amalan begitu (Al-Arqam),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Khaulah juga menegaskan sekolah agama di bawah seliaan kumpulan itu juga berpandukan silibus Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sepanjang ia beroperasi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan berlaku kes eksploitasi kanak-kanak dalam kumpulan berkenaan serta golongan tersebut didedahkan dengan video militan, Khaulah berkata dia tidak boleh mengulas lanjut kerana perkara itu masih dalam siasatan pihak polis.
Semalam media melaporkan fahaman jihad militan dipercayai antara yang diserapkan pada diri kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, kanak-kanak berkenaan didedahkan dengan menonton video fahaman militan pada waktu lapang mereka. – 14 Oktober, 2024