Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pembangunan terlampau pesat di KL antara isu kritikal akan dibincangkan KLRA+SD, Datuk Bandar | Scoop

Pembangunan terlampau pesat di KL antara isu kritikal akan dibincangkan KLRA+SD, Datuk Bandar

KLRA + SD bukan menentang pembangunan semula kerana ia diperlukan di kawasan yang usang dan tidak selamat namun pembangunan itu perlu dijalankan mengikut konsep serta proses yang sewajarnya

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pembangunan yang terlampau pesat dan tidak terkawal merupakan perkara yang akan dibangkitkan dalam pertemuan antara Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) yang mewakili 74 persatuan penduduk dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif pada 29 Oktober ini.

Pengerusi KLRA+SD, Tan Booi Charn ketika dihubungi Scoop berkata, ini kerana perkara tersebut merupakan permasalahan kritikal yang perlu diberikan perhatian serius oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dalam pertemuan itu nanti, kami akan bincangkan tentang cabaran yang dihadapi penduduk akibat pembangunan berskala tinggi dan berkepadatan tinggi di Kuala Lumpur yang semakin pesat serta tidak terkawal.

“Pembangunan residensi pencakar langit yang terlalu pesat dengan kepadatan penghuni yang amat tinggi di kawasan perumahan sedia ada, jika tidak dikaji semula akan meningkatkan lagi kadar impak negatif serta risiko kepada kawasan sedia ada,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dijangka mengadakan pertemuan dengan KLRA + SD pada 29 Oktober ini. – Gambar fail Bernama, 12 Oktober, 2024

Selain itu, KLRA +SD juga mahu aspek pembangunan semula dikaji segera bagi menyelesaikan kemelut gangguan yang dihadapi penduduk berikutan isu berkenaan.

Menurutnya, beberapa komuniti penduduk yang dikenalpasti sebagai kawasan pembangunan semula berdasarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 kini hidup dalam keadaan kurang tenteram disebabkan pendekatan tidak profesional yang dikendalikan oleh agen serta wakil pemaju.

“Sejak beberapa bulan lalu, kawasan kediaman Taman Cantik, di sini, yang telah dikenalpasti sebagai kawasan pembangunan semula menjadi huru-hara dan berpecah-belah akibat pendekatan tidak profesional oleh agen dan wakil pemaju.

“Manakala sejak satu hingga tujuh tahun lalu, kawasan kediaman Taman Segar, Flat Rajawali dan Taman Sri Endah Apartmen telah didekati oleh agen pemaju yang tidak berhemah dan kurang beretika.

“Wakil pemaju mewujudkan permusuhan antara penduduk disebabkan perbezaan pendapat dan pendirian, di mana sebahagian menyokong manakala sebahagian lagi tidak menyokong pemaju. Kurangnya ketelusan boleh menyukarkan penduduk untuk menyuarakan masalah mereka atau mendapatkan penyelesaian yang berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, Booi Charn berharap pertemuan itu nanti akan membuka ruang bagi membincangkan secara telus demi kesejahteraan penduduk ibu kota.

“Langkah ini penting untuk memastikan isu-isu serta cabaran yang dihadapi dapat dipertimbangkan secara segera, adil dan menyeluruh sebelum melibatkan isu keselamatan yang lebih serius.

“Kami bukan anti-pembangunan semula. Ia diperlukan di tempat-tempat kediaman yang usang dan tidak selamat didiami namun pembangunan semula itu perlu dijalankan mengikut konsep dan prinsip pembangunan mampan serta melalui proses yang sewajarnya.

“Kami warga kota yang terkesan merasa amat teraniaya, tertekan dan tertindas di kawasan perumahan sendiri,” katanya.

Pada 24 September lalu, Scoop melaporkan KLRA +SD kecewa apabila permintaan untuk mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar bagi membincangkan isu pembangunan tidak terkawal di ibu kota masih tidak terlaksana.

Namun, Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menafikan dakwaan tiada maklumbalas diberikan kepada pemohon dan ingin menegaskan Datuk Bandar sentiasa berusaha untuk menyantuni hasrat mana-mana pihak berkepentingan khususnya di Kuala Lumpur untuk bertemu dengan beliau. – 12 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related