Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
‘Betulkah Islam suruh cuti hari Jumaat’, Mufti Perlis bagi penjelasan | Scoop

‘Betulkah Islam suruh cuti hari Jumaat’, Mufti Perlis bagi penjelasan

Islam tidak pernah menyatakan memuliakan sesuatu hari itu dengan bercuti sebaliknya ia dipenuhi dengan beribadat termasuk bekerja

3:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tiada dalam nas agama yang menyatakan bahawa hari Jumaat perlu cuti, kata Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza, hanya orang yang bankrap akal dan tidak memahaminya menyatakan perlu cuti pada hari Jumaat bagi melaksanakan dasar Islam.

Beliau juga berkata, firman Allah menerusi Surah Al-Jumuah ayat 9-10 menyebut mengenai seruan menunaikan solat Jumaat dengan segera dan kembali bekerja selepas selesai solat.

Sebab itu, katanya dalam Mazhab Malik, makruh apabila tidak melakukan apa-apa aktiviti pada hari Jumaat, malah tidak ada dalam empat Mazhab yang menyatakan hari Jumaat adalah hari cuti.

Islam juga, katanya tidak pernah menyatakan membesarkan atau memuliakan sesuatu hari itu dengan bercuti sebaliknya ia dipenuhi dengan beribadat termasuk bekerja.

“Agama tidak kata cuti hari Jumaat (malah) nas kata bekerja hari Jumaat. Tiada masalah untuk bercuti hari Jumaat seperti negara Arab tetapi semua yang bercuti pada hari Jumaat tidak pernah menyatakan kerana membesarkan hari Jumaat.

“Adakah Nabi (Nabi Muhammad SAW) pernah kata orang Islam cuti hari Jumaat? Yang (kita) tahu hari tidak bekerja ini adalah Yahudi pada hari Sabtu,’’ katanya.

Beliau memberikan penjelasan berkenaan bagi menjawab soalan bila Perlis akan melaksanakan cuti Jumaat untuk melaksanakan dasar Islam, menerusi klip video di dalam Facebook beliau bertajuk ‘Betulkah Islam Suruh Cuti Hari Jumaat’.

Mengulas lanjut Asri memberitahu, jika hari Jumaat dijadikan sebagai hari cuti, mungkin ada yang tidak akan menunaikan solat Jumaat berbanding jika mereka bekerja pada hari berkenaan disebabkan rasa malu.

“Kerana kita kerja pada hari Jumaat, saya kata (ia) salah satu faktor orang ramai duduk di masjid, kalau cuti maka cerah (lengang) masjid.

“Bukan saya kata cuti hari Jumaat salah tetapi jika tujuan untuk meramaikan masjid (ia) tidak capai tujuan,’’ katanya.

Malah katanya, jika hari jumaat menjadi hari cuti, maka ramai yang akan bermusafir apatah lagi Perlis bersempadan dengan Thailand.

Jelasnya, tidak salah untuk mencadangkan cuti Jumaat di Perlis namun perlu memikirkan kesan dan hasil pelaksanaannya kelak.

Isu cuti pada hari Jumaat hangat diperkatakan selepas Johor menukar cuti mingguan kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025.

Bagaimanapun ada pihak yang membantah dan mahukan Jumaat diberikan keutamaan apatah lagi ia merupakan hari yang mulia dalam Islam serta mempunyai pengertian yang besar dalam masyarakat Islam di seluruh dunia.

Namun menerusi kenyataan hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz meminta semua pihak supaya tidak menjadikan perubahan cuti mingguan di Johor sebagai bahan politik hingga boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan keharmonian negeri itu.

Menurut Onn, setiap keputusan yang diambil ini adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhan. – 11 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related