KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz meminta semua pihak supaya tidak menjadijan perubahan cuti mingguan di Johor sebagai bahan politik hingga boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan keharmonian negeri itu.
Menurut Onn, setiap keputusan yang diambil ini adalah yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhan.
“Mendapat pandangan dari Mufti Negeri Johor dan YB Exco Agama Negeri Johor, ketertinggian Islam tidak sedikit pun berkurang bila mana Johor tidak lagi bercuti pada hari Jumaat bermula Januari 2025.
“InsyaAllah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor.
‘Mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang dengan memudahkan mereka merancang aktiviti pada hujung minggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 7 Oktober lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Tunku Mahkota Ismail memaklumkan keputusan itu mendapat perkenan dan restu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Berikutan itu, beberapa pihak menyuarakan bantahan berhubung perubahan cuti mingguan berkenaan termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan Jumaat sebagai hari yang mulia dalam budaya Islam dan mempunyai pengertian yang besar dalam masyarakat Islam di seluruh dunia.
“Tidak akan jadi Johor mundur jika dikekalkan Jumaat adalah hari cuti bagi Johor di mana memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor. Rakyat Johor yang bukan Islam menerima hakikat budaya dan sejarah politik Johor mengapa hari Jumaat adalah hari cuti di Johor.
“Perubahan untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari bekerja dan hari Ahad sebagai hari cuti di Johor pernah berlaku beberapa tahun yang lalu tetapi perubahan itu tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokongnya,’’ kata Hassan.
Turut senada dengan Hassan adalah Yang Dipertua PAS Johor Bahru, Dr Mohd Mazri Yahya yang menyatakan sepatutnya Jumaat diberikan keutamaan.
Bagaimanapun semalam Tunku Mahkota Ismail bertitah, jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati berhubung perubahan cuti minggu tersebut, baginda mempersilakan mereka berpindah ke negeri lain.
“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,’’ titah Tunku Mahkota Ismail menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz turut mengharapkan agar tiada lagi mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi berhubung perubahan cuti hujung minggu tersebut sehingga mengganggu gugat keharmonian rakyat negeri itu. – 11 Oktober, 2024