Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Akar umbi Bersatu kecewa Hamzah kempen untuk 2 calon Naib Presiden sepatutnya ‘tiada campur tangan’ | Scoop

Akar umbi Bersatu kecewa Hamzah kempen untuk 2 calon Naib Presiden sepatutnya ‘tiada campur tangan’

Teguran terhadap Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu sudah disampaikan ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang mendesak supaya tiada campur tangan dalam pemilihan parti

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Akar umbi Bersatu menzahirkan rasa kurang senang, tidak puas hati malah kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkempen untuk calon tertentu bagi jawatan Naib Presiden bagi pemilihan parti penggal 2024-2027.

Kritikan itu timbul selepas Hamzah yang menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden Bersatu, didakwa bertindak berkempen bagi dua calon Naib Presiden, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Radzi Jidin dalam satu program di Negeri Sembilan.

Bercakap kepada Scoop, sumber parti berkata, teguran terhadap Hamzah itu sudah disampaikan ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang mendesak supaya tiada campur tangan dalam pemilihan parti.

“Semua orang marah terutama akar umbi parti, rata-rata berpandangan sebagai Timbalan Presiden yang menang tanpa bertanding, beliau tidak sepatutnya berkempen.

“Akar umbi menzahirkan rasa kurang senang, sangat kecewa dan tidak berpuas hati bila ada favouritism (berpihak) seperti itu.

“Beliau tidak sepatutnya membuat itu, dan difahamkan teguran sudah sampi ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi yang mendesak supaya Hamzah tidak campur tangan dalam proses pemilihan itu,” katanya hari ini.

Sumber berkata, Hamzah wajar melihat kepada proses pemilihan parti sebelum ini ketika Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memenangi jawatan Timbalan Presiden.

“Beliau (Peja) tak campur pun atau pengaruhi pemilihan jawatan lain, dia duduk diam sahaja. Sebab dia timbalan presiden untuk semua ahli, bukan satu dua pemimpin tertentu.

“Malah tiada arahan terus daripada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya perwakilan memilih calon Naib Presiden tertentu dalam pemilihan kali ini.

“Desakan dibuat akar umbi parti ini juga isyarat supaya proses pemilihan parti itu berjalan dengan adil dan lancar,” katanya.

Selain itu sumber berkata, dakwaan kewujudan kumpulan yang menyokong calon tertentu adalah perkara biasa ketika pemilihan parti.

“Bukan setakat team A, team B.. rasa sekarang sudah ada team C, team D dah.

“Tapi nama pun pemilihan dan ini realitinya namun perkara itu tidak akan menjejaskan keutuhan dalam parti secara keseluruhannya.

“Kita yang duduk satu kampung pun, kalau ada pilihan raya, kawan ni sokong parti lain, kita sokong parti lain, tapi tetap juga mesra lepas habis pilihan raya, ‘gaduh’ kejap sahaja, esok baiklah balik, begitulah kalau nak diumpamakan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menafikan wujudnya pakatan antara dua kumpulan menjelang pemilihan parti itu.

Malah beliau berkata, Presiden parti juga tidak campur tangan dan memberi kebebasan kepada semua pimpinan parti untuk bertanding.

“Kita tegaskan, tiada kumpulan Muhyiddin dan Hamzah pada pemilihan parti, sebaliknya persaingan diadakan dengan penuh keceriaan.

“Semua calon yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan MPT tidak mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin serta Hamzah,” kata Razali.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Saiful Adli Mohd Arshad memaklumkan pihaknya menerima 8,531 borang pencalonan daripada ahli seluruh negara bagi menentusahkan kelayakan dan keabsahan untuk mengambil bahagian pada pemilihan parti bagi sesi 2024-2027.

Katanya, seramai 93 calon bertanding bagi peringkat MPT), Jawatankuasa Armada Malaysia (53), Jawatankuasa Srikandi Muda Malaysia (39) dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu Malaysia (27). – 10 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related