KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL) menyifatkan langkah untuk mewajibkan penjaja dan peniaga berlesen untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) mulai 1 Januari tahun hadapan sebagai tidak serius, umpama ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Bercakap kepada Scoop, Presiden PMKL Datuk Gulam Muzaffar Gulam Mustakim berkata, ia berdasarkan kepada pengalaman persatuan tersebut ketika berurusan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum ini berhubung caruman tersebut.
Meskipun menyifatkan ia sebagai inisiatif yang sangat baik, namun Ghulan berkata ada beberapa beberapa faktor utama menjadi penghalang utama untuk merealisasikan perkara ini.
Jelasnya, sikap pekerja sendiri, peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang tidak agresif, serta penglibatan pemegang taruh dengan Perkeso masih lesu sehingga menjadikan SKSPS tidak nampak menarik untuk dicarum.
“Pengalaman PMKL yang pernah dihubungi sekali pada awal tahun ini oleh pihak Perkeso, selepas itu diam seribu bahasa dan tiada tindakan untuk menjayakan usaha ini membuatkan PMKL selaku NGO (badan bukan kerajaan) yang menguruskan hampir 14,000 penjaja pasar malam di KL beranggapan Perkeso tidak serius.
“Seperkara lagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya lebih menumpukan skim ini kepada peniaga-peniaga berlesen yang ada premis, kedai dan ruang niaga di KL.
“Maaf (tapi), kebajikan penjaja pasar malam yang juga kategorinya pekerja sendiri juga dipandang sepi,’’ katanya kepada Scoop.
Pada 2 Oktober lalu, Scoop melaporkan langkah mewajibkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) terhadap penjaja dan peniaga berlesen bermula 1 Januari tahun depan bertujuan menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja, menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Perkeso dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan rekod bagi tempoh 2024 hingga 31 Ogos lepas, sebanyak 53,901 individu dalam sektor penjaja mencarum SKSPS dengan 189 kes tuntutan diterima dan diproses melibatkan pembayaran faedah keseluruhan sektor terbabit berjumlah RM681,174.90.
Mengulas lanjut, Gulam berkata, golongan peniaga dan penjaja sering kali dianaktirikan dan sebarang taklimat dan penerangan berhubung pelaksanaan perkara ini dilihat terlalu tergesa-gesa, tanpa sebarang hebahan awal kepada mereka.
“PMKL amat berharap kepada pihak Perkeso dan DBKL khususnya melihat dan memberi sedikit keutamaan kepada golongan penjaja pasar malam di KL dengan dasar yang mewajibkan pekerja sendiri mencarum SKSPS.
“PMKL masih tertanya-tanya dan menunggu cara kaedah pelaksanaannya yang tidak sampai tiga bulan dari sekarang (yang dilihat agak tergesa-gesa). Ini masalahnya sistem kerajaan, umum dulu dan lepas itu kalau ada masalah berbangkit, cerita kemudian.
“Antara masalah yang mungkin akan berbangkit, antaranya sekiranya peniaga ini sendiri sudah ada premium insurans dengan syarikat lain, kenapa perlu mereka mencarum dalam SKSPS lagi.
“Jika mereka tidak mencarum, adakah lesen meniaga mereka akan ditarik balik oleh DBKL? Perkara-perkara macam ini yang kita perlu beri perhatian,” katanya.
PMKL, kata beliau, harus sentiasa berusaha sendiri untuk menjaga kebajikan penjaja-penjaja pasar malam termasuk ahli jawatankuasa penganjurnya di bawah naungan persatuan berkenaan. – 7 Oktober, 2024