PETALING JAYA – Pelakon filem Mat Kilau dan Pendekar Awang, Fattah Amin, telah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya Fazura, yang terkenal dengan drama bersiri Gol dan Gincu, hari ini.
Perkahwinan selama tujuh tahun itu berakhir selepas lafaz dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Fattah, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, menceraikan Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh selepas Fazura memfailkan permohonan cerai pada 13 September lepas atas alasan ketidaksefahaman.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 itu dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima, yang kini berusia empat tahun.
Selepas prosiding mahkamah, Fazura kelihatan sedang menangis dan seterusnya bersalaman dengan ibu serta bapa mentuanya.
Ketika bercakap dengan wartawan selepas prosiding, Fazura mendedahkan tiga sebab utama tuntutan cerai itu dibuat iaitu Fattah didakwa mengabaikan nafkah kepadanya dan anak, faktor ketidaksefahaman yang menyebabkan Fazura tertekan secara emosi dan mental serta curang.
Apabila ditanya sama ada dia mempunyai bukti terhadap tuduhan curang tersebut, Fazura berkata:
“Ada.” Fazura juga memberitahu dia telah memberikan peluang kepada Fattah sejak bertahun-tahun lalu.
Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Fazura berkata setelah meneliti cadangan persetujuan yang dikemukakan pihak defendan (Fattah) berkaitan perceraian, kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk bercerai.
“Rentetan itu, defendan telah dibenarkan untuk melafazkan cerai talak satu kali pertama terhadap plaintif (Fazura).
“Oleh itu, lafaz cerai dibuat oleh defendan pada 9.45 pagi dan terma persetujuan direkodkan berkaitan nafkah idah dan nafkah anak serta apa-apa yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah,” katanya pada sidang media.
Menurut Fakhrul Azman, hak penjagaan anak pula akan direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah. – 7 Oktober 2024