KUALA LUMPUR – Bersatu hari ini menolak dakwaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), menyumbang kepada kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota minggu lalu.
Sebaliknya, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau dikenali sebagai Peja, Azmin bekerja menyediakan jentera pilihan raya yang mantap malah ia antara jentera yang terbaik.
“Malangnya keputusan tidak menyebelahi kami tetapi kami akan bangkit semula.
“Seluruh kepimpinan Bersatu akan bekerjasama dengan lebih kuat lagi bagi memastikan kami lebih kuat di masa akan datang,” katanya kepada media selepas pengumuman senarai calon untuk pemilihan Bersatu di ibu pejabat parti itu hari ini.
Pada PRK DUN Mahkota lalu, calon PN, Haizan Jaafar memperoleh 7,347 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah yang mendapat 27,995 undi.
Terdahulu Ahmad Faizal antara enam calon akan bersaing merebut tiga jawatan naib presiden Bersatu pada pemilihan parti itu bulan depan.
Selain beliau, turut tercalon Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin yang akan bertanding untuk mempertahankan jawatan disandang mereka itu.
Tiga lagi calon yang turut bersaing dalam pertandingan jawatan Naib Presiden Bersatu ialah A’ziss Zainal Abiddin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq bin Abdullah.
Namun tiada nama Azmin pada senarai pemilihan kali ini, beliau sebelum ini sudah mengesahkan tidak bertanding sebarang jawatan tertinggi sebaliknya memilih untuk hanya mempertahankan Ketua Bahagian Gombak. – 4 Oktober, 2024