KUALA LUMPUR – Datuk Sirajuddin Suhaimee, 57, dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkuatkuasa hari ini.
Pelantikan beliau diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini.
Sirajuddin yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, dilantik sebagai Ketua Pengarah jabatan itu bagi menggantikan Datuk Hakimah Mohd Yusoff .
Shamsul dalam kenyataannya berkata, pelantikan Sirajuddin adalah usaha untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam seiring dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan memperkukuh Jakim sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di negara ini.
Kerajaan juga, katanya bersetuju melantik Hakimah sebagai Penyelaras Hal Ehwal yang melibatkan koordinasi antara Jakim, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC) berkuat kuasa hari ini.
‘Pelantikan ini adalah bagi memangkin pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia,’’ katanya.
Sirajuddin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah & Undang-Undang) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer), University of South Australia (UniSA).
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jakim, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim dan juga sebagai Setiausaha Pertama (Halal), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia.
“Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu Jakim ke arah mengangkat kemuliaan agama Islam dan memartabatkan JAKIM sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di persada global,’’ kata Shamsul. – 1 Oktober, 2024