KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat dakwaan berhubung kewujudan pusat kuarantin Global Ikhwan Service & Business Holding (GISB) di dalam dan luar negara yang dipercayai menjadi tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli GISB yang bermasalah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dakwaan dan maklumat mengenai perkara itu dimuatnaik oleh akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas).
“Pada masa sama, PDRM juga sedang mengesan aset-aset yang dikaitkan atau dimiliki GISB bagi membantu siasatan,’’ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Facebook PUKAS baru-baru ini mendakwa kaedah kuarantin GISB itu dijalankan sejak zaman Al-Arqam dan Rufaqa di mana ahli yang bermasalah dipulau dan diasingkan ke suatu tempat yang terpencil.
Selama tempoh kuarantin, ia mendakwa ahli tidak boleh bergaul atau bercakap dengan sesiapa dan diletakkan dalam ruangan khas atau bilik kecil untuk ‘muhasabah diri’.
Facebook itu mendakwa antara pusat kuarantin itu ialah di Pulau Tioman, Kota Tinggi, Sepang; Baling, Kedah; Keningau, Sabah; Topang, Riau dan Turkiye.
Dalam pada itu, mengulas mengenai GISB tidak pernah membayar cukai, Razarudin memberitahu ia merujuk kepada tahun taksiran terkini yang sedang disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Siasatan itu memfokus kepada beberapa syarikat di bawah GISB yang dipercayai gagal mematuhi beberapa peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967,’’ katanya.
Sebelum ini, laporan mengenai GISB tidak pernah membayar cukai telah menyebabkan netizen mempersoalkan kenapa GISB boleh terlepas daripada cengkaman LHDN.
Jelas mereka bagaimana sebuah syarikat yang bertaraf Sdn Bhd, dan mempunyai perniagaan hingga ke luar negara, boleh terlepas tanpa ‘dihantui’ LHDN.
Dalam pada itu, Razarudin memberitahu polis sudah membuka 10 kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Ia adalah hasil laporan polis berhubung isu buruh paksa yang diterima daripada beberapa individu yang pernah bekerja dengan GISB,” katanya. – 28 September, 2024