KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan kontrak perkhidmatan Dr Mohd Khairuddin Othman sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) telah ditamatkan semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut punca penamatan perkhidmatan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras itu yang juga Setiausaha PKR Selangor.
“Saya sahkan beliau telah ditamatkan perkhidmatan semalam.
“Dalam isu jawatan kontrak mana-mana pelantikan dan penamatan, ada prosesnya, dan pelantikan serta penamatan adalah perkara biasa.
“Ia berdasarkan proses yang teratur,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di Putrajaya hari ini.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, tugas ketua pengarah itu akan dipangku oleh individu lain.
Ditanya bila kekosongan jawatan tersebut akan diisi, beliau berkata, perkara berkenaan belum dapat dipastikan buat masa ini kerana terdapat proses yang perlu diikuti.
Terdahulu, Mohd Khairuddin dilapor berkata, beliau sudah menerima surat penamatan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-Kom semalam.
Khairuddin, dilantik ke jawatan tersebut pada 1 Mac lalu, bagi menggantikan Datuk Mohammad Agus Yusof.
Jawatan Ketua Pengarah J-Kom sebelum ini kosong selepas Agus meletak jawatan pada November 2023.
Agus sebelum ini dihimpit dengan kontroversi melibatkan penularan video berdurasi tiga minit, yang memaparkan perbualan lucah antara lelaki didakwa mirip beliau dengan Penolong Pegawai di J-Kom, Abdul Wahab Kadir Jilani. – 25 September, 2024