Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
GISB: ‘Kita tidak mahu lagi tertipu untuk kali ke-4 dan seterusnya’, kata PAS | Scoop

GISB: ‘Kita tidak mahu lagi tertipu untuk kali ke-4 dan seterusnya’, kata PAS

Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bukan kali pertama malah beberapa episod melibatkan penyelewengan akidah sudah berlaku sejak berpuluh tahun lalu

8:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – PAS mahu gerakan kumpulan Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISB) dibanteras hingga ke akar umbi kerana ia bukan kali pertama malah beberapa episod melibatkan penyelewengan akidah sudah berlaku sejak berpuluh tahun lalu.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, episod terdahulu membawa modus operandi yang sama melibatkan Darul Arqam diikuti Pertubuhan Rufaqa dan kini ia berulang lagi dengan GISB yang lebih ekstrem dan menakutkan.

“Manipulasi terhadap kanak-kanak dilakukan secara besar-besaran, sebagaimana kenyataan oleh Ketua Polis Negara.

“Tindakan ini sama sekali tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh dibiarkan, terutama jika dilakukan atas nama agama, sedangkan agama tidak ada kaitan dengan apa yang mereka dakwa,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 10,000 ahli kumpulan GISB termasuk kanak-kanak.

Pada sidang medianya hari ini, Razarudin turut memaklumkan sebanyak 153 akaun bank berkaitan GISB telah dibekukan melibatkan jumlah lebih RM800,000.

Mengulas lanjut, Fahdli berkata, proses pemulihan kumpulan itu perlu dilaksanakan hingga ke peringkat penyediaan peluang hidup kedua untuk generasi baru yang sudah dibentuk sejak lahir oleh gerakan tersebut.

Jika tidak, tegasnya, negara akan berdepan dengan drama yang sama beberapa tahun lagi dengan modus operandi yang sama.

“Dari sudut penyelewengan akidah, kali ini kita perlu sampai ke akar umbi. Kita tidak mahu lagi tertipu untuk kali keempat, kelima, atau keenam, sehingga entah berapa kali lagi,” katanya.

Namun katanya, tindakan itu tidak boleh menzalimi golongan yang sedang dimanipulasi, dan pihak berkuasa tidak boleh melepaskan pemimpin-pemimpin atasan kumpulan itu yang merupakan manipulator serta hidup mewah hasil titik peluh anak-anak yang dijadikan bahan untuk meraih derma.

Fadhli turut mempersoalkan kenapa pihak berkuasa agama terlepas daripada memantau gerakan ini begitu lama dan mengapa mereka berjaya mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh termasuk Perdana Menteri.

“Secara logiknya, Perdana Menteri tidak mungkin mengetahui secara terperinci mengenai tetamu-tetamu yang berjumpa dengannya,’’ katanya.

Beliau turut bertanya, mengapa kumpulan itu boleh berkembang dan mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh dunia dengan kaedah perhambaan moden yang tidak boleh dimaafkan dan kenapa ia baru meletus hari ini. – 23 September, 2024

Topics

 

Hangat

Related