KUALA LUMPUR – Jabatan Jabatan Mufti Selangor akan memutuskan persoalan berkaitan Global Ikhwan Service & Business Holdings (GISB) pada 30 September ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sebelum itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membentangkan laporan berkaitan GISB dalam mesyuarat Mais pada 24 September ini.
“Begitu juga dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor berhubung keputusan fatwa yang akan bersidang pada 30 September 2024 bagi memutuskan persoalan berkaitan GISB,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, Mais juga mengambil serius mengenai isu melibatkan GISB dan telah melaksanakan tindakan bersepadu bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap GISB dan rangkaiannya.
Ia termasuk memastikan sekolah Islam yang terlibat ditutup dan dibatalkan pendaftarannya.
“(Tindakan bersepadu) itu bagi memastikan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membuat keputusan segera bagi hasil kajian dan penelitian terhadap GISBH,’’ katanya.
Abdul Aziz juga berkata MAIS menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta mengambil tindakan serius berhubung isu yang dikaitkan dengan GISBH dan rangkaiannya itu.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya.
Sehubungan itu, baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarah ditutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiayai. – 22 September, 2024