KUALA LUMPUR – Bahan-bahan yang diperoleh dalam rampasan oleh pihak berkuasa menerusi Op Global fasa 4 akan menjadi bukti sokongan dalam menentukan pegangan akidah pengikut kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISB).
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datin Hakimah Mohd. Yusoff berkata, bahan-bahan bukti tersebut akan dijadikan asas dalam kertas laporan yang akan dibincang serta diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) pada 24 hingga 26 September ini.
Beliau memberitahu, keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin Kumpulan GISB ini akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan ini dibawa ke Mahkamah Syariah.
“Jakim amat menghargai kerjasama semua agensi yang terlibat khususnya pihak PDRM dalam membantu Jakim bagi melengkapkan bahan bukti untuk tujuan tersebut.
“Penghargaan juga kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) yang memberi kerjasama erat kepada Jakim selama ini bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISB dapat diputuskan secara tuntas,’’ katanya dalam kenyataan.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 155 pengikut GISB, melibatkan 78 lelaki dan 77 wanita dalam Operasi Global (Op Global) Fasa 4 yang dilancarkan di seluruh Semenanjung.
Dalam operasi sama, seramai 186 mangsa diselamatkan iaitu 102 lelaki dan 85 wanita termasuk kanak-kanak yang tular di media sosial yang dirotan seorang lelaki ahli GISB.
Pada Jumaat, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata ia juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.
Sementara Mufti Kelantan,Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata Kelantan hanya akan mengisytiharkan ajaran dalam GISB sebagai sesat sekiranya ia menyamai organisasi al-Arqam yang difatwakan haram sebelum ini.
.
Jelasnya, perkara itu memerlukan siasatan lanjut dan bukti sahih sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Pada 19 September lalu, beberapa pemimpin kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB merupakan antara 19 individu yang ditahan dalam Op Global susulan laporan rumah amal kendalian syarikat itu didakwa melakukan penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.
Mereka direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Sekysen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022. – 22 September, 2024