KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengambil tindakan terhadap 430,000 peminjam culas yang tidak membayar hutang membabitkan RM6 bilion.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir juga mendedahkan sebahagian daripada peminjam didapati sudah bergraduasi sejak berpuluh tahun lalu dan ada yang gagal membuat pembayaran walau satu sen.
“Ini kategori yang tak peduli sejak hari pertama dia keluar (dari universiti), dia tak maklumkan keadaan dia, di mana dia bekerja, bagaimana dia nak (buat pembayaran semula), sepatutnya perlu bincang.
“Kita sudah pun membuat perbincangan secara mendalam di peringkat kabinet untuk langkah seterusnya.
“Saya tidak menafikan langkah susulan yang akan diambil terhadap mereka ini termasuk tindakan undang-undang,” katanya dalam satu program di Lumut, Perak hari ini.
Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab pihak terbabit mengakibatkan kedudukan kewangan PTPTN kini berada di tahap membimbangkan.
Katanya, perincian tentang tempoh kes dan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap peminjam terbabit akan diumumkan pihak PTPTN dalam masa terdekat.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi kita tetap berhemah. Kita faham keadaan (ekonomi), tetapi saya nak supaya mereka ini datanglah ke pejabat PTTPN , ceritakan keadaan mereka.
“Mereka juga perlulah mempunyai tanggungjawab moral kerana wang itu apabila mereka bayar balik, kita akan gunakan untuk membantu generasi yang akan datang,” katanya. – 21 September, 2024