KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak mahu Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang menjadi satu peraturan pada masa hadapan, yang mana peruntukan diberikan kerajaan itu memerlukan satu perjanjian.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerana itu PN melihat tiada keperluan untuk menggubal draf MoU itu.
“Ia menggambarkan kerajaan tidak mengiktiraf pilihan rakyat sehingga memerlukan kepada suatu perjanjian.
“Langkah seperti ini bukanlah cara menambah baik sistem demokrasi di negara ini, malahan ia amat jelas merupakan suatu langkah mundur kebelakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sepatutnya, walau tanpa perjanjian, peruntukan kepada semua wakil rakyat perlu disalurkan kerana menghormati peruntukan perlembagaan, undang-undang negara dan peraturan Dewan Rakyat, yang semua Ahli Parlimen bersumpah akan menjunjung dan mempertahankannya.
“Adalah suatu yang mengaibkan Kerajaan Pusat apabila negeri-negeri terutamanya negeri yang diperintah oleh PAS boleh mengagihkan peruntukan tanpa sebarang perjanjian kepada semua wakil rakyat dengan tidak mengambil kira parti kerajaan atau pembangkang.
“Parlimen dan kerajaan Pusat sepatutnya menjadi model untuk dicontohi di peringkat negeri, bukan sebaliknya.
“Kami mendesak kerajaan menunaikan janjinya yang telah dijadikan manifesto bagi Pakatan Harapan (PH) atau ianya akan mengesahkan kerajaan hari ini adalah kerajaan pembohong,” katanya.
Semalam PN memutuskan tidak akan mengemukakan sebarang cadangan baharu berkaitan draf MoU mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang, kata pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu itu juga sekali lagi menegaskan mereka tetap dengan keputusan menolak MoU peruntukan berkenaan yang disifatkan bertentangan dengan perlembagaan dan sifat murni rakyat Malaysia.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata pihak pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU itu.
PN memutuskan sebulat suara menolak MoU itu yang dibuat berdasarkan empat sebab utama iaitu syarat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan. – 21 September, 2024