KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang tidak mahu dilihat seperti pengemis dan menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan atas sebab tidak mahu terikat dengan syarat ditetapkan.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembangkang juga tidak akan dapat bersuara untuk memperjuangkan kepentingan rakyat kerana syarat ditetapkan dalam MoU itu.
“Lihat MoU yang ditawarkan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, apakah kami pengemis, peminta sedekah, apakah kami ini nak dilayan dan dikekang suara kami dalam Parlimen.
“Sedangkan yang memilih kami adalah rakyat di bawah sana menerusi sistem demokrasi yang cukup telus dan terbuka.
“Hari ini suara kita nak dibungkam dan nak disekat oleh kerajaan di Putrajaya. Di mana politik yang subur, di mana demokrasi yang subur dalam negara hari ini,” soalnya dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di Kluang, Johor malam tadi.
Sebelum ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN memutuskan sebulat suara menolak MoU itu yang dibuat berdasarkan empat sebab utama.
Beliau berkata, syarat MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Sehari selepas penolakan PN itu, Fadillah mendedahkan kandungan penuh draf MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak Hamzah.
Dalam pada itu, Azmin mencabar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri itu sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang berkata, Onn Hafiz perlu telus apabila bercakap mengenai perpaduan antara BN dan Pakatan Harapan di Johor.
“Kamu mesti ikhlas dalam hubungan (kerjasama politik). Tiada Kerajaan Perpaduan di Johor walaupun PH terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah menyokong Umno selama dua tahun.
“Mereka tidak dapat apa-apa, di mana semangat Kerajaan Perpaduan di Johor? Saya cabar Menteri Besar sekiranya dapat kekalkan kerusi DUN Mahkota, adakah mereka akan bentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zin pada 2 Ogos lalu.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon. – 19 September, 2024