PUTRAJAYA – Pegawai penguatkuasa Imigresen ‘berpengaruh’ yang menjadi dalang utama sindiket membawa masuk warga asing menerusi ‘counter setting’ atau laluan kaunter khas dan mengawal hampir 50 pegawai lain, akan didakwa awal bulan depan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, individu berusia awal 40-an itu telah berkhidmat dalam agensi tersebut sejak 20 tahun lalu dan ditahan bersama 49 pegawai lain atas kesalahan sama menerusi Op Setting yang dijalankan baru-baru ini.
“Individu ini merupakan dalang, dia menjadi ‘focal person’. Dia turut mengarahkan pegawai-pegawai imigresen supaya melaksanakan apa yang diarahkan dan mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan pegawai imigresen.
“Modus operandi sindiket ini menggunakan Counter Setting atau laluan Kaunter Khas dengan bantuan pegawai penguat kuasa untuk memudahkan kemasukan warga asing tanpa pemeriksaan mengikut prosedur,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Azam berkata, SPRM melakukan risikan hasil maklumat daripada ‘whistleblower’ dan kegiatan ini dipercayai dijalankan sejak empat tahun lalu.
“SPRM jalankan risikan selama enam bulan dan kita dapat maklumat daripada pihak tertentu di KLIA termasuk ‘whistleblower’.
“Menerusi hasil risikan, didapati (kegiatan) sudah lama berlaku sejak tahun 2020,” katanya.
Susulan itu, seramai 49 orang ditahan menerusi Op Setting yang dijalankan baru-baru ini.
Menerusi Op tersebut, SPRM berjaya merampas wang tunai lebih RM1.4 juta, sembilan kereta, 13 motosikal, 12 jam tangan berjenama mewah dan 27 dinar emas dengan anggaran harga RM200,000.
Jelasnya, ia merupakan rampasan daripada semua 49 pegawai imigresen dan seorang pegawai polis wanita yang ditahan berhubung kes berkenaan.
Semua akaun bank pegawai terlibat, ujar beliau, dibekukan sehingga siasatan kes selesai.
“Kita juga telah membuka sebanyak 37 kertas siasatan dan telah mengambil keterangan daripada 95 individu berhubung kes ini,” katanya.
Dalam pada itu, empat agen sindiket yang memberi rasuah akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Antara warga asing yang dibawa masuk agen-agen sindiket kebanyakannya berasal dari Bangladesh, Myammar, Pakistan, China, India, Vietnam dan Indonesia. – 18 September, 2024