KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan sudah memulakan tindakan ke atas Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISB) sejak Februari 2019.
Ketua Pengarah Jakim, Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata, ini sekali gus menafikan dakwaan pihak berkuasa itu tidak mengambil tindakan berhubung isu GISB.
Beliau berkata, selain 12 mesyuarat diadakan, tindakan diambil susulan isu GISB turut meliputi bengkel, pasukan petugas khas dan program kenegaraan yang mana turut membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, satu pertemuan tertutup dengan pihak GISBH diadakan pada September 2019 membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI),Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah serta Panel Pakar Tasawuf Jakim.
“Pada Julai 2022, Mesyuarat Khas bersama Agensi Keselamatan Negara termasuk MKN, PDRM dan KDN diadakan bagi tujuan penyelarasan isu berkaitan.
“Ia disusuli beberapa perbincangan pada Ogos lalu, selain Program Kem Kenegaraan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISB kali ke-2 serta dialog dengan pihak GISB atas dakwaan penyelewengan akidah yang masih diamalkan, seterusnya disusuli perbincangan bersama NADI MAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
“Pada Februari 2023, Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah mengenai isu GISB diadakan melibatkan NADI, Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial E2 Cawangan Khas PDRM serta pertemuan dengan bekas pengikut GISB.
“Seterusnya satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Datuk Nasiruddin Mohd Ali diadakan pada Februari tahun ini bagi mengkaji lebih mendalam isu akidah, syariah dan tasawuf dalam GISBH,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali sebagai Dr Maza mendakwa kajian mengenai syarikat GISB pernah dibentang kepada Jakim namun tiada tindakan.
Dakwanya, isu tersebut tidak diangkat mungkin disebabkan beberapa pihak enggan mengambil risiko atau ada sebab lain.
“Namun di atas perkara tertentu, pihak yang mereka bentangkan tidak mengangkat kes ini mungkin atas sebab tertentu, mungkin ada yang enggan ambil risiko. Ada yang lihat tak begitu besar. Mungkin sebab musabab yang lain,” katanya dalam hantaran video merujuk kepada siri kuliah mingguan yang diadakan di Masjid Alwi, Kangar kelmarin.
Selain itu Hakimah berkata, hasil kajian dan dapatan berkenaan isu GISB susulan tindakan diambil itu akan dibentangkan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI) dan mesyuarat Kabinet, seterusnya memohon perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri bagi tujuan penguatkuasaan.
Beliau berkata, Jakim konsisten mengadakan dialog, program dan kajian mendalam mengenai isu berkenaan dan tidak berkompromi terhadap apa-apa perkara membabitkan akidah umat Islam.
Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan seramai 171 orang penyelia dan penjaga 20 premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB telah ditahan.
Dalam serbuan polis juga, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global pada Rabu – 14 September, 2024