KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) tidak layak diberikan kredit dalam isu melibatkan syarikat Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISB), kata Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Abu Hafiz Salleh Hudin.
Bahkan, kata Abu Hafiz, ada pihak berkuasa agama yang tidak percaya kepada hasil dapatan dan pemantauan aktivis yang dijalankan terhadap syarikat tersebut.
“Saya yang terlibat langsung dan tak langsung, Jakim tak layak diberikan kredit.
Menteri Agama layak diberikan kredit. Jakim benar-benar tak berguna dalam proses ini. Bahkan yang tak mahu ‘percaya’ dapatan para pengkaji diperingkat awal sehingga terpaksa ke Perlis,’’ katanya menerusi tulisan di aplikasi X.
Saya yang terlibat langsung dan tak langsung; JAKIM tak layak diberikan kredit.
— Dr. Abu Hafiz (@abuhafiz1) September 12, 2024
Menteri Agama layak diberikan kredit.
JAKIM benar² tak berguna dalam proses ini. Bahkan yang tak mahu ‘percaya’ dapatan para pengkaji diperingkat awal sehingga terpaksa ke Perlis. https://t.co/N9Wd4ofAeG
Abu Hafiz turut menulis di Facebook dan mencadangkan supaya Jakim menjalankan rombakan kerana lambat bertindak dalam kes GISB.
“Teguran dan perbincangan sudah terlalu banyak dalam reformasi Jakim. Yang diperlukan adalah tindakan! Kalau ingin benar-benar berubah, Jakim boleh mula merombak Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan,’’ katanya.
Tegasnya, pendedahan dan usaha penyiasatan bagi tujuan pendakwaan terhadap GISB hanyalah ‘tip of the iceberg’.
Menurutnya, dalam soal melibatkan isu GISB ini, kumpulan pengkaji dan aktivis ditendang bagaikan bola oleh pihak berkuasa agama dan mereka ini sebenarnya adalah hero sebenar kerana mengambil risiko yang besar.
Jelasnya, selepas beberapa pihak berkuasa agama tidak mahu mengambil serius mengenai pembentangan yang dijalankan itu hinggakan kumpulan itu terpaksa bertemu dengan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, yang kemudiannya mendedahkan perkara tersebut menerusi ceramah serta podcast hingga kes itu mula mendapat perhatian awam.
“Namun, walaupun sudah kecoh, tetap tiada tarikan dari mana-mana pihak berkuasa agama khususnya di Putrajaya dan terlebih khusus Jakim. Perlu diingat, kajian dan dapatan tentang GISB di Jakim telah dibuat lebih awal dari 2013 lagi. Untuk menyatakan Jakim tiada maklumat, amat naif dan bodoh,’’ katanya.
Abu Hafiz berkata, luahan beliau kemudian mendapat respon yang sangat baik dan proaktif daripada Na’im dan ‘turun gunung’ bertanya serta mendapatkan kepastian.
“Tiada mana-mana badan agama apatah lagi Jakim yang menerima bajet tahunan hampir RM2 bilion itu, bertanya dan bersungguh seperti Menteri Agama,’’ katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dianggap sebagai watak penting menggerakkan Op Global.
Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan seramai 171 orang penyelia dan penjaga 20 premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB telah ditahan.
Kesemua mereka ditahan dalam 20 serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia.
Dalam serbuan itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global pada Rabu. – 12 September, 2024