KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan tetap disayangi Umno selagi beliau bersama parti dan tidak memburukkan kepimpinan, demikian kata Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub.
Bercakap kepada Scoop, Mustapha berkata, parti keramat Melayu itu memerlukan semua ahlinya komited tanpa ada usaha untuk menjatuhkan mahupun mencemar nama parti dan pemimpinnya.
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu juga sepatutnya mengetahui punca dan sebab sehingga wujud dakwaan beliau ‘dipulaukan’.
“Apa yang disebut oleh Ismail sebagai ‘pulau’ oleh pemimpin Umno semasa menjadi Perdana Menteri mungkin kerana ketika itu berlaku ketidakpuasan hati Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di atas keengganan beliau membubarkan Parlimen selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Sebelum itu dalam PRN Melaka, Ismail Sabri juga tidak ada keyakinan yang BN mampu menang majoriti dua pertiga.
“Selain itu kegagalan untuk mencari dana PRN dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga menjadi penyebab dia tidak popular dalam kalangan kepimpinan Umno,” katanya kepada Scoop.
Baru-baru ini, Ismail Sabri mengakui kecewa dengan layanan segelintir pemimpin Umno yang menjauhinya ketika beliau dilantik sebagai Menteri Kanan pada Mac 2020 sehingga Perdana Menteri pada Ogos 2021.
Ismail Sabri berkata beliau tidak mendapat sokongan parti seperti yang diharapkan ketika menjawat jawatan itu walaupun tidak mempunyai masalah dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ismail Sabri menjadi salah seorang daripada ‘geng 10’ yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.
“Apa pun semuanya telah menjadi sejarah dan dia tahu punca dan sebab dipulau. Semuanya kerana kesilapannya sehingga terjadi demikian,” katanya.
Tambah Mustapha, Ismail Sabri yang juga bekas Naib Presiden Umno boleh mengelak daripada merasa terus ‘terpulau’ sekiranya terus aktif membantu aktiviti parti.
“Dia masih Ketua Umno Bera dan kena terus membantu dalam kegiatan dan program parti,” katanya.
Selain itu beliau dalam nada sinis turut menempelak Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang menyifatkan Ismail Sabri sebagai tokoh Umno yang ‘bukan biasa-biasa’ sebagai pandangan peribadi ‘orang luar’ Umno.
“Dia (Hassan) tidak ada hak pun nak komen seperti itu. Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri (dari Umno) selepas Najib (Datuk Seri Najib Razak). Apakah Ismail lebih baik dari Najib?,” soalnya. – 7 September, 2024