KUALA LUMPUR – Restoran Dolly Dim Sum menjelaskan dapur berpusatnya (central kitchen) yang membekalkan bahan-bahan serta makanan separa siap ke semua cawangan, telah mendapat Sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).
Menerusi hantaran di media sosialnya, syarikat berkenaan berkata status halal mereka boleh disemak di laman web Jakim dan ia turut menyertakan nombor pengesahan (JAKIM.700-2/3/1 021-06/2024) untuk rujukan.
Dolly Dim Sum turut menegaskan, pihaknya sedang dalam proses bagi mendapatkan sijil halal untuk setiap cawangan.
“Seperti yang dinyatakan dalam pengumuman kami pada 1 Ogos 2024, kami juga sedang dalam proses mendapatkan sijil halal untuk setiap cawangan kami.
“Memperoleh sijil halal Dapur Berpusat (Central Kitchen) adalah sebahagian dari langkah penting dalam keseluruhan proses pensijilan ini,’’ katanya.
Justeru Dolly Dim Sum berharap penjelasan itu akan menjelaskan kebimbangan mengenai isu berkenaan.
Semalam Jakim menjelaskan berdasarkan semakan dalam sistem MYeHALAL JAKIM, status halal bagi premis Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw adalah bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Jelas Jakim, berdasarkan semakan semula yang dibuat melalui Portal Halal Malaysia mendapati premis makanan berangkai jenama Ayam Penyet Best telah mempunyai empat outlet yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
“Jabatan ini telah mengemukakan semula makluman kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September 2024 jam 11.36 malam iaitu hari yang sama diberi maklum balas atas pertanyaan yang diajukan,’’ kata kenyataan berkenaan. – 4 September, 2024