KUALA LUMPUR – Pendakwaan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan akan membuka kebenaran mengenai 115 akuan bersumpah (SD) yang didakwa dimilikinya, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Malah kata Wan Saiful, jika betul wujud 115 SD berkenaan, keabsahan kerajaan sekarang juga akan dipersoalkan.
“Saya adalah salah seorang yang menandatangani SD, kenapa tidak dipanggil ke Istana…tapi komen panjang-panjang nanti saya pula yang kena panggil.
“Tapi saya sangat teruja kita akan ke mahkamah dan berharap ia akan ditunjukkan di mahkamah. Kalau betul ada 115 SD, apa akan berlaku seterusnya, adakah kita akan persoalkan keabsahan kerajaan sekarang,’’ katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam podcast Scoop, Trick Lama, baru-baru ini.
Ia diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Muhyiddin menceritakan apa yang berlaku mengikut pengalamannya namun apa yang menjadi persoalan ialah kenapa sehingga tindakan perlu diambil.
“Apa yang berlaku ialah Muhyiddin memperkatakan mengenai satu ‘chapter’ dalam sejarah politik Malaysia. Soalan saya kenapa sampai nak takut sangat, sampai kena ambil tindakan, kenapa nak tutup ‘chapter’?
“Kenapa nak sembunyikan, kenapa tidak boleh dibincangkan,’’ soalnya.
Wan Saiful merujuk kepada soalan berhubung pendakwaan terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang pada minggu lepas kerana didakwa mengeluarkan perkataan menghasut pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Beliau kemudiannya menyerahkan 115 SD yang menyokong dirinya sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022 kepada polis.
Ditanya lanjut mengenai titah Yang di-Pertuan Agong bahawa baginda tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba mengugat kestabilan politik negara dan semua pihak perlu menghormati Kerajaan Perpaduan yang dibentuk, Wan Saiful berkata:
“Saya berpandangan titah Seri Paduka adalah (atas) tanggungjawab. Baginda cakap (atas) tanggungjawab, jangan buat (pertukaran kerajaan) sekarang, (atas dasar) stabiliti.
“Tapi pada masa sama kalau berlaku keadaan (di mana) bilangan berubah, baik kita atau Agong tidak ada pilihan sebab dalam agenda negara ialah kedaulatan undang-undang. Kalau kita percaya rule of law (peraturan undang-undang), kita kena fight terhadap apa yang berlaku.
“Kalau kita kata 3 tahun sekali tak payah tukar, kenapa 5 tahun, kenapa pilihan raya tak (tidak) diadakan 25 tahun sekali. Kenapa kita terkurung kepada keadaan ini. Kalau dua hari (perlu tukar), kita tukar la.
Wan Saiful turut ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri PAS Terengganu yang melarang atlet wanita beragama Islam mewakili negeri itu dalam acara sukan terjun ke Sukma Sarawak baru-baru ini kerana menyalahi kod etika pakaian, beliau berkata, setiap negeri mempunyai polisi yang berbeza.
Sepatutnya, kata beliau, setiap orang meraikan kepelbagaian malah rakyat Terengganu membuat pilihan dengan memilih kerajaan negeri mereka sendiri.
“Kawasan saya di Tasek Gelugor, keadaan berbeza dan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan mengikut polisi Terengganu. Bukan orang Terengganu yang perlu berubah, sebaliknya kita yang kena berubah.
“Ini orang yang menetap di Kuala Lumpur cuba melaksanakan (polisi) di Terengganu sedangkan orang negeri itu sudah membuat pilihan mereka,’’ katanya. – 2 September, 2024