PETALING JAYA – ‘Sentiasa amalkan sikap berjaga-jaga’ demikian nasihat seorang pemandu e-hailing wanita, Siti Fatimah Badrun kepada wanita yang ingin menceburi bidang berkenaan.
Siti Fatimah, yang juga seorang pemandu e-hailing Orang Kelainan Upaya (OKU) berkata, dia menjadi pemandu Grab kerana pendapatan yang diperolehinya tiga kali ganda melebihi pekerjaan sebelum ini, iaitu di sebuah syarikat pengurusan di ibu kota.
Ketika menceritakan pengalamannya, Siti Fatimah berkata, dia akan membawa penumpang sehingga jam 9 malam sahaja setiap hari kerana keselamatan diri perlu diberikan keutamaan.
“Memang menjadi pemandu e-hailing ini ialah membawa orang yang kita tidak kenal. Kadang-kadang timbul perasaan takut walaupun orang itu nampak baik tapi kita perlu sentiasa mengambil sikap berjaga-jaga.
“Saya sebenarnya paling takut bawa penumpang dalam keadaan mabuk tetapi sehingga kini pengalaman saya semua baik-baik sahaja dengan mereka,’’ katanya ketika ditemui Scoop baru-baru ini.
Dalam pada itu, seorang lagi ‘rider’ penghantaran wanita, Nurasma Omar, 34, dari Cheras berkata, jaminan keselamatan maksimum yang dijanjikan Grab merupakan antara faktor dia tidak berasa bimbang ketika keluar mencari rezeki.
Namun ibu kepada seorang cahaya mata ini, tetap mengambil langkah berhati-hati dan tidak alpa ketika menjalankan tugasan agar perjalanan hariannya berjalan kancar tanpa sebarang insiden.
“Saya suka bekerja dengan Grab sebab bila kita ada masalah, dekat sistem mereka akan direct dengan emergency contact sekiranya kita tekan butang tersebut,’’ katanya.
Jelasnya, Grab memperkenalkan satu butang khas kecemasan di mana pemandu serta rakan penghantar perlu memasukkan beberapa nombor ahli keluarga terdekat untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan ketika sedang bekerja.
Kemudian, Grab akan menghantar satu mesej khas kepada emergency contact tersebut tentang keberadaan pemandu dan rakan penghantar untuk memastikan mereka sentiasa alert akan pergerakan ahli keluarga tersebut ketika keluar bekerja mencari rezeki. – 2 September, 2024