KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memutuskan tidak akan membuat tapisan mahu pun sekatan terhadap mana-mana pemimpin parti yang akan datang berkempen serta berceramah di pentas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Memaklumkan perkara itu kepada Scoop, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keperluan untuk melaksanakan tindakan itu susulan tuduhan menghasut dikenakan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkait ceramah di PRK Nenggiri.
“PN putuskan untuk tidak menyekat atau membuat tapisan kepada mana-mana ahli, pemimpin mahu pun penceramah yang akan tampil sepanjang kempen di PRK DUN Mahkota.
“Tiada keperluan untuk itu (sekatan atau tapisan) dibuat, kerana kita yakin masyarakat boleh menilai setiap hujah dan isu yang akan dibangkitkan,” katanya kepada Scoop.
Hari pengundian PRK DUN Mahkota ditetapkan pada 28 September ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing pada 14 dan 24 September.
Dalam pada, Tuan Ibrahim bagaimanapun mengakui PN bakal berdepan cabaran sukar pada PRK DUN Mahkota selepas calon mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu hanya memperoleh sekitar 7,600 undi.
“Kerusi DUN Mahkota agak mencabar berbanding PRK sebelumnya. Kerjasama PN dengan pendekatan kempen berstrategi diharap mampu memenangkan calon PN pada kali ini.
“Demografi pemgundi yang berada kawasan pinggir bandar dan lebih kecil kawasan juga dilihat akan membantu dalam kempen PN kali ini,” katanya.
Mengulas mengenai laporan tiada pemimpin parti itu hadir ke Mahkamah Gua Musang untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin yang didakwa atas tuduhan menghasut baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata, laporan dikeluarkan itu hanya cuba melaga-lagakan kepimpinan dalam PN.
“PAS tetap bersolidariti dengan Muhyiddin menerusi kehadiran Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan, pimpinan PAS Perak serta penyokong parti yang lain.
“(Jelasnya) isu 3R (tidak timbul, bahkan pendakwaan dibawah Akta Hasutan, yang ditentang Pakatan Harapan selama ini, jelas ia bertentangan dengan apa yang diperjuangkan selama ini,” katanya.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.
Muhyiddin, 77, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin yang juga didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu di sini, dan didapati telah menyebut perkataan menghasut antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lepas. – 1 September 2024