KUALA LUMPUR – Pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Norazlin Othman selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan.
Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.
Hakim Norazlin berkata, tertuduh adalah seorang pendakwah agama dan penceramah motivasi yang memberikan impak besar kepada masyarakat justeru perbuatan yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa tidak dapat diterima akal yang munasabah.
“Mahkamah mempertimbangkan kesan trauma kepada mangsa kerana mangsa mengumpulkan kekuatannya untuk tampil membuat laporan polis terhadap tertuduh dan perlu menghadiri proses perundangan yang panjang di mahkamah,” kata Norazlin.
Dalam penghakimannya, Norazlin berkata mahkamah berpendapat bahawa pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian dan pemikiran semula meskipun disokong pernyataan awalnya kepada pihak polis.
Beliau berkata keterangan tertuduh juga tidak cukup untuk mematahkan kes pendakwaan bahawa kejadian rogol sememangnya telah berlaku.
“Tertuduh menafikan terdapat elemen paksaan terhadap mangsa, bermula ketika tertuduh mengajak mangsa keluar hingga ke saat hubungan seks dilakukan. Tertuduh turut menafikan terdapat ancaman kepada mangsa, sama ada semasa atau selepas kejadian dan dia juga menyatakan mangsa tidak cuba melarikan diri dan komunikasi mereka selepas itu adalah baik.
“Namun, pembelaan berhujah bahawa keterangan tertuduh itu tidak konklusif dan tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah kerana pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata,” kata hakim itu.
Menurut Norazlin, mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa tertuduh adalah individu yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa mangsa ke rumahnya.
“Tertuduh mempunyai latar belakang sebagai seorang penceramah dan motivator terkenal, mempunyai satu kedudukan yang mulia dan dipercayai oleh mangsa. Pihak pendakwaan juga telah membuktikan mangsa adalah seorang yang lemah kerana mengalami kemurungan dan ini menyebabkan mangsa yang lurus bendul tidak boleh membuat keputusan serta tidak boleh melawan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan jenayah rogol semakin berleluasa.
“Berdasarkan kedudukan (tertuduh) dan keterangan saksi-saksi, tertuduh ialah individu dikenali ramai dan seorang pendakwah yang mempunyai latar belakang agama yang kukuh serta motivator kepada golongan muda yang seusia dengan tertuduh.
“Apabila karakter ini ditonjolkan kepada masyarakat ia dipandang tinggi, namun tertuduh menggunakan kedudukannya dan mengambil kesempatan ke atas mangsa,” katanya.
Peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memohon supaya penangguhan pelaksanaan hukuman diberikan dengan alasan kesalahan dilakukan tertuduh adalah kesalahan kali pertama.
Sebaik keputusan dibacakan, Da’i Syed dilihat menangis teresak-esak di kandang tertuduh.
Isterinya, Hana Ismail, 38, yang baru saja melahirkan anak 16 hari lalu kemudian memeluk penceramah itu bagi menenangkannya.
Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 malam, 11 September 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.
Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta – 30 Ogos, 2024