KUALA LUMPUR – Maybank menutup cawangannya di Jalan Bunus, di sini, untuk sementara waktu mulai 2 petang tadi sehingga tarikh yang akan dimaklumkan demi keselamatan pekerja dan pelanggan.
Ia susulan kejadian tanah mendap yang berlaku berdekatan cawangan bank itu.
Maybank dalam kenyataannya memaklumkan pihak polis sudah mengepung kawasan berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Terminal Layan Diri (SST) termasuk Mesin Deposit Cek (CQM) kami telah ditutup sejak pagi ini sehingga diberitahu kelak,’’ katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jalan Bunus terletak kira-kira 750 meter dari Jalan Masjid India.
Jalan Masjid India terpaksa ditutup sejak Jumaat lalu susulan kejadian pelancong warga India, Vijaya Lakshmi yang terjatuh ke dalam tanah jerlus ketika sedang berjalan dari arah Selangor Mansion menuju ke Wisma Yakin.
Semalam, satu lagi mendapan baharu dikesan di Jalan Masjid India, dengan mendapan baharu yang muncul itu dianggarkan sebesar dua kaki, terbentuk kira-kira 50 meter dari lokasi insiden minggu lalu.
Dalam pada itu, Maybank berkata pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan perbankan menerusi Maybank2u, Maybank2u Biz dan Maybank2E dari rumah.
Pelanggan juga, katanya boleh mengunjungi Maybank KL di Jalan Tun Perak untuk perkhidmatan secara fizikal. – 29 Ogos, 2024