Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
'Anda terlanjur, anda perlu hadap,’ kata Anwar kepada Muhyiddin | Scoop

‘Anda terlanjur, anda perlu hadap,’ kata Anwar kepada Muhyiddin

Ini kerana, katanya, polis telah mengambil tindakan berikutan laporan yang dibuat oleh Istana Pahang

2:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu pendakwaan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan Akta Hasutan, tidak perlu dijadikan sebagai alat politik.

Ini kerana, katanya, polis telah mengambil tindakan berikutan laporan yang dibuat oleh Istana Pahang.

“Jadi tak usah dipusing, dia tahu, dia cuma nak main politik. Saya nak nasihat, isu ini diangkat oleh Istana Pahang. Sebelumnya, dalam kes lain oleh Istana Selangor.

“Anda melanggar peraturan dan anda terlanjur. Anda perlu berhadapan dengannya…Usah dok gunakan ini sebagai (alat) politik,’’ tegas beliau.

Anwar berkata demikian selepas perasmian dan pecah tanah Residensi Suria Madani, di Taman Desa, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 27 Ogos lalu menyifatkan tindakan kerajaan mendakwa Muhyiddin di bawah Akta Hasutan 1948, sebagai satu lagi pendakwaan terpilih bermotif politik dan berniat jahat bagi menekan pimpinan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

Hamzah menyifatkan polis dan Jabatan Peguam Negara memutuskan secara tergesa-gesa untuk mendakwa Muhyiddin tanpa mengendahkan fakta dan keterangan daripada individu-individu utama yang terlibat serta memperhalusi dokumen yang telah diserahkan.

Kata Hamzah, ia sekali gus menunjukkan sikap hipokrasi pemimpin Pakatan Harapan yang dahulunya lantang menentang Akta Hasutan 1948, namun apabila menjadi kerajaan, akta itu kini digunakan untuk menindas lawan politik.

Pada 27 Ogos lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Muhyiddin, 77, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu di sini, dan didapati telah menyebut perkataan menghasut antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lepas. – 29 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Related