KUALA LUMPUR – Pertuduhan ke atas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Sesyen hari ini dijalankan mengikut prosedur, bukan dibuat secara tergesa-gesa, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurutnya, siasatan ke atas bekas Perdana Menteri itu dilakukan seperti kes 3R (kaum, agama dan raja) lain yang diselesaikan dalam masa seminggu.
“Sebelum ini, kita sudah beritahu akan tunjukkan prestasi kita dalam tujuh hari. Tiada kena-mengena tergesa-gesa. Kalau kata hari ini siasat, esok tuduh, mungkin tergesa-gesa.
“Dalam masa tujuh hari itu, mungkin siasatan habis dalam masa empat hari dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pula akan ambil masa satu atau dua hari pula atau 24 jam sahaja rakam keterangan dan arahan tuduh daripada AGC.
“Tidak timbul isu tergesa-gesa, tapi memang ambil masa yang tetap. Kalau lambat nanti orang kata kita lembab. Bila cepat, kata tergesa-gesa pula,’’ katanya pada program Anak Angkat Madani di Kampung Jenal, Kuala Krai, hari ini.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.
Muhyiddin, 77, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu di sini, dan didapati telah menyebut perkataan menghasut antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lepas.
Semalam, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mendakwa siasatan polis berhubung ucapan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dikatakan menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, telah dilakukan secara tergesa-gesa.
Beliau menambah, pendakwaan segera ke atas Muhyiddin oleh Peguam Negara berhubung kes itu juga menimbulkan banyak persoalan.
Ini kerana, kata Faizal, tindakan menyatakan fakta, terutama berkaitan Perlembagaan Persekutuan, tanpa berkecenderungan menghasut tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghasut atau menjadi kesalahan. – 27 Ogos, 2024