Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tanah jerlus Jalan Masjid India: 2 anggota skuba turun ke lurang kumbahan di IWK Pantai Dalam | Scoop

Tanah jerlus Jalan Masjid India: 2 anggota skuba turun ke lurang kumbahan di IWK Pantai Dalam

Mereka mula memasuki lurang kumbahan itu pada jam 4.30 petang tadi

6:08 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India diteruskan dengan menggunakan khidmat dua anggota unit skuba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), yang memasuki lurang kumbahan di Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam, di sini.

Dua anggota bomba dari unit itu dilengkapi dengan set peralatan perlindungan diri (PPE) bagi tujuan keselamatan susulan risiko gas beracun di sepanjang lorong pembentungan.

Mereka mula memasuki lurang kumbahan itu pada jam 4.30 petang tadi.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat pada sidang media berkata, enam anggota Unit Skuba JBPM menjalankan operasi pencarian di enam lurang kumbahan sekitar ibu negara sejak semalam.

Menurut beliau, anggota tersebut membuat pemeriksaan selama 20 minit bagi setiap kawasan lurang kumbahan kerana berhadapan cabaran iaitu ruang sempit, arus deras dan keadaan udara yang berisiko.

Antara kawasan terlibat bermula dari Jalan Masjid India, Wisma Yakin, Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian di Lebuh Pasar dan berakhir di Jalan Kinabalu.

Operasi SAR membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium (IWK).

Dalam kejadian pada 8.22 pagi Jumaat, seorang wanita warganegara India, Vijaya Lakshmi, 48 terperangkap dan tertimbus tanah jerlus sedalam lapan meter di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India. – 25 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Related