KUALA LUMPUR – Hanya 250 daripada 567 penjaja pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dibenarkan berniaga malam tadi manakala selebihnya diminta berehat susulan kejadian tanah jerlus melibatkan seorang wanita warga India, Jumaat lalu.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja TAR, Roslan Ghani ketika ditemui Scoop berkata, perkara itu dicapai hasil perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan lorong itu dikosongkan untuk laluan kecemasan bagi jentera bomba dan polis.
Peniaga berkenaan juga, kata Roslan, terpaksa dipindahkan sedikit ke hadapan dan mereka berniaga mulai 12 tengah hari sehingga 10 malam.
“Disebabkan perbincangan dengan DBKL diadakan saat akhir, keutamaan diberikan kepada peniaga makanan untuk beroperasi kerana mereka sudah menyediakan makanan untuk jualan.
“Kami beri keutamaan kepada peniaga makanan untuk beroperasi semalam sebab mereka dah sediakan makanan jualan. Manakala yang berniaga pakaian dan bahan kering, kami minta mereka bercuti dahulu,’’ katanya ketika ditemui Scoop.
Operasi SAR diadakan bagi mengesan seorang wanita warganegara India, warganegara India, Vijayalectchumy, 48 yang terperangkap dan dikhuatiri tertimbus tanah jerlus sedalam lapan meter di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, pada Jumaat.
Sementara itu, seorang peniaga nasi campur, Yusmira Redhuan, 29, berkata dia terpaksa juga meneruskan perniagaan kerana telah sedia memasak juadah untuk jualan.
Menurutnya, dia cuma berharap agar mendapat semula modal sebanyak RM2,000 yang dibelanjakan semalam untuk menyediakan lauk-pauk untuk jualan.
“Kami dimaklumkan saat akhir, dalam jam 12 tengah hari dan semua lauk-pauk dah siap dimasak. Jadi, saya buat keputusan teruskan juga jualan walaupun pengunjung tak serancak minggu-minggu biasa,’’ katanya.
Sementara itu, seorang peniaga buah yang hanya mahu dikenali sebagai Adnan berkata, kejadian mendapan tanah bukan pertama kali berlaku di sekitar kawasan berkenaan.
Sebaliknya, insiden sama berlaku bulan lepas iaitu kira-kira 50 meter daripada lokasi kejadian tanah mendap pada Jumaat, namun kerja-kerja pembaikan dijalankan segera.
“Bulan lalu, DBKL menutup jalan kira-kira 50 meter daripada lokasi kejadian sebab jalan mendap.
“Bila dah berlaku keadaan seperti ini, saya betul-betul berharap ada tindakan serius daripada pihak berkuasa supaya kejadian sebegini tidak berulang,” katanya. – 25 Ogos, 2024