KUALA LUMPUR – Ia merupakan keputusan yang wajar sekiranya Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu khususnya mahu ‘melepaskan’ Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengembalikan kepercayaan ahli terhadap perjuangan parti berkenaan, kata Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan.
Bercakap kepada Scoop, Azmi berkata Muhyiddin kini dilihat sebagai ‘liabiliti’ terhadap gabungan berkenaan susulan kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, institusi raja, kaum), baru-baru ini.
“Apa yang diucapkan (Muhyiddin) di Nenggiri itu, tidak sepatutnya diperkatakan sebab benda dah lepas.
“Jadi ini dikatakan sesuatu perlu dilakukan untuk memutuskan hubungan (dengan Muhyiddin) jika tidak mahu dikaitkan dengan apa yang diucapkan Muhyiddin kerana sukar untuk beliau mempertahankan, (apa yang diperkatakan) itu didakwa mencela (mantan) Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Rabu lepas, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri memberikan keterangan kepada beberapa pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman selama sejam di MIDA, di sini.
Muhyiddin turut menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau menghina institusi raja.
Pada 19 Ogos lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Berikutan itu, Istana Pahang membuat satu laporan polis terhadap Presiden Bersatu itu kerana didakwa menyentuh isu 3R.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai melanggar protokol dan penghormatan kepada institusi diraja.
“Kenyataan Muhyiddin yang mempertikai kuasa Agong dalam pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dilihat sebagai satu pelanggaran terhadap adat, adab dan protokol yang menghormati institusi raja.
“Ini telah menyebabkan kemarahan dalam kalangan pihak istana, serta rakyat yang menghormati peranan Agong dalam sistem pemerintahan Malaysia.
“Dalam konteks Malaysia yang meletakkan institusi raja sebagai satu simbol kestabilan dan keadilan, tindakan Muhyiddin ini boleh dianggap sebagai kurang bijak dan menimbulkan ketidakpuasan hati, bukan sahaja dalam kalangan pengundi tetapi juga dalam kalangan ahli politik yang melihat pentingnya mengekalkan hubungan baik dengan istana,” katanya.
Awang Azman berpendapat kenyataan kontroversi Muhyiddin itu juga berisiko melemahkan sokongan pengundi kepada PN kerana penghormatan kepada raja dan perlembagaan sebagai adalah prinsip utama dalam memilih pemimpin dan parti politik.
“Tindakan Muhyiddin juga menimbulkan persepsi dalam kalangan pengundi bahawa PN mungkin tidak menghormati proses perlembagaan dan institusi yang menjaga keharmonian negara,” katanya. – 27 Ogos, 2024