Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
KKM belum cadang laksana program vaksinasi untuk Mpox: Timbalan Menteri Kesihatan | Scoop

KKM belum cadang laksana program vaksinasi untuk Mpox: Timbalan Menteri Kesihatan

Namun KKM akan memantau rapat perkembangan kes itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dari semasa ke semasa

1:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) belum bercadang untuk melaksanakan program vaksinasi khusus untuk penyakit cacar monyet atau lebih dikenali sebagai Mpox untuk rakyat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, setakat ini tiada kes jangkitan Mpox direkodkan di Malaysia.

Namun katanya, KKM akan memantau rapat perkembangan kes itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dari semasa ke semasa.

“Setakat ini kita tak ada pun bercakap tentang vaksin ini dan sekiranya ada pun, kita akan kaji sepenuhnya keperluan berkenaan MPox ini. Kalau kita lihat pada garis panduan dan juga cara jangkitan, ia boleh dielak jika individu itu mengambil langkah berhati-hati, umpamanya dengan mengamalkan kebersihan kendiri dan lain-lain.

“Biasanya simptom jangkitan Mpox boleh dilihat dengan jelas melalui tanda-tanda fizikal seperti tompok-tompok di badan dan pesakit sendiri boleh merasakan kesannya,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand ke-34 di George Town hari hari ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengisytiharkan Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun, dengan menekankan kebimbangan global yang berterusan terhadap penyakit itu.

Malah di Indonesia, sekurang-kurangnya 11 kes Mpox telah dikesan di beberapa daerah kecil di Jakarta setakat tahun ini dengan kes terbaharu dilaporkan pada Jun lalu.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, tiada halangan kepada rakyat Malaysia untuk ke luar negara tetapi mereka perlu sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Kerajaan juga, katanya, sedang melaksanakan kawalan ketat di pintu masuk negara serta sempadan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemasukan pengembara dari luar.

“Setakat ini proses yang kita lakukan adalah sama seperti ketika pandemik (COVID-19). Semua langkah berjaga-jaga telah diambil oleh agensi-agensi yang berkenaan terutama sekali di pintu masuk imigresen, lapangan terbang dan juga di sempadan serta kita akan rujuk kepada mereka jika ada keperluan,” katanya. – 20 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Related