Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ucapan di Nenggiri ‘suatu kenyataan fakta’ tidak bermaksud hina institusi raja: Muhyiddin | Scoop

Ucapan di Nenggiri ‘suatu kenyataan fakta’ tidak bermaksud hina institusi raja: Muhyiddin

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, ucapannya juga bukan untuk menimbulkan kecenderungan menghasut

4:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan ucapannya di pentas ceramah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta dan tidak bermaksud untuk menghina institusi raja.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, ucapannya juga bukan untuk menimbulkan kecenderungan menghasut.

“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi hantaran di laman Facebook semalam, telah menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Terdahulu Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Muhyiddin akan dipanggil untuk memberi keterangan pada Selasa ini berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi PRK Nenggiri baru-baru ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.

Istana Pahang turut membuat satu laporan polis terhadap Presiden Bersatu itu susulan kenyataan yang menyentuh isu 3R.

Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kira-kira jam 10 malam semalam. – 19 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Related