KUALA LUMPUR – Kanak-kanak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, 10, yang ditemukan mati di kawasan berpaya perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di Sungai Siput, Perak semalam, disyaki dibunuh selain dipercayai turut dirogol.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kes mulanya diklasifikasikan mati mengejut (SDR) namun kini ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Susulan keputusan hasil bedah siasat yang selesai dijalankan jam 4 petang tadi ke atas mayat mangsa, mendapati terdapat kecederaan akibat tekanan di bahagian leher serta kesan koyak di kemaluan mangsa.
“Susulan itu seorang lelaki berusia 17 tahun yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa ditahan polis sekitar jam 5.30 petang tadi bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Terdahulu, mayat Nuraina Humaira yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemui meninggal dunia di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di Sungai Siput, semalam.
Mohd Khaizam dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kira-kira 1.30 awal pagi semalam yang memaklumkan kanak-kanak itu tidak pulang tidak pulang ke rumah sejak Jumaat petang.
“Mayat kanak-kanak terbabit ditemukan sekitar 4.20 petang semalam selepas pencarian dilakukan kira-kira 60 orang membabitkan polis, bomba dan orang kampung dengan khidmat anjing pengesan (K9), sejak 7 pagi.
“Jumpa badan mangsa dalam kawasan berpaya berhampiran dengan kawasan perumahan mereka.
“Peringkat awal kita klasifikasi kes orang hilang, kemudian apabila dah jumpa dan disahkan kematian mangsa oleh Hospital Sungai Siput pada 7 petang, kita klasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.
Mohd Khaizam berkata, berdasarkan maklumat, mangsa mempunyai masalah pendengaran dan pada Jumaat lepas, mangsa hendak makan ayam goreng di sebuah surau di perkampungan itu selepas solat Jumaat, namun telah habis.
“Mangsa kemudiannya pulang ke rumah sebelum ibunya memberi wang untuk membeli ayam di kedai berdekatan tetapi ayam tiada.
“Dia (mangsa) pergi ke kedai, ayam tiada dan dia balik ke rumah beritahu emaknya bahawa ayam tiada, jadi bapa saudaranya yang perlu lakukan kerja lain ketika itu, suruh (mangsa) tunggu sekejap sebelum dia (bapa saudaranya) bawa ke kedai lain.
“Jadi masa menunggu itu, dia (mangsa) main dekat taman permainan, ada buaian di kawasan itu, selepas itu tak jumpa dia. Tunggu balik pun tak balik, sebab selalunya lepas bermain dia balik,” katanya. – 18 Ogos, 2024