KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dewan Rakyat akan memutuskan sama ada tindakan potong elaun akan dikenakan terhadap Ahli Parlimen yang sering ponteng sidang Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau hanya boleh mencadangkan perkara itu namun keputusan akan dibuat jawatankuasa terbabit yang terdiri daripada kalangan pemimpin anggota kerajaan dan pembangkang.
“Kita tidak boleh membuat keputusan secara semberono. Perkara itu sedang dipertimbang dan dikaji secara mendalam.
“Ia akan dibawa kepada jawatankuasa dewan, saya tak boleh buat keputusan, hanya boleh cadang.
“Kalau jawatankuasa dewan kata kita potong, jadi oklah kita potong elaun, tengoklah apa keputusan jawatankuasa itu, yang dibarisi anggota kerajaan dan pembangkang
“Ini bukan keputusan saya nanti tapi mereka (jawatankuasa dewan),” katanya selepas Program Lawatan Kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sempena Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Se-Malaysia 2024, hari ini.
Sebelum ini Johari berkata, Ahli Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat dalam tempoh tertentu berisiko kehilangan elaun apabila Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) berkuat kuasa.
Pada Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Pindaan Perlembagaan bagi mengembalikan semula PSA sudah 90% siap dan menunggu masa untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.
Azlina berkata, PSA antaranya akan memberi kuasa autonomi kepada pentadbiran dan kewangan Parlimen.
Selain itu mengulas lanjut, Johari berkata, Ahli Parlimen perlu sedar bahawa gaji mereka dibayar oleh rakyat dan perlu melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab apabila memenangi kerusi pada pilihan raya.
“Ketika kempen pilihan raya, mereka sanggup bergasak dan berperang bagi memenangi kerusi Parlimen dengan alasan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Apabila diberi mandat, datanglah ke Parlimen serta menyampaikan hasrat pengundi, janganlah menghilangkan diri dan hanya muncul pada saat akhir Parlimen.
“Jika tidak boleh hadir mengikuti persidangan lima jam, hadirlah empat atau tiga jam dan bukannya terus menghilangkan diri.
“Kita faham ada menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir persidangan tetapi mereka mempunyai tugas lain sama seperti Ahli Parlimen pembangkang yang terpaksa mempengerusikan mesyuarat anak syarikat kerajaan (GLC).
“Ahli Parlimen datang Parlimen dapat duit, gaji tetap, hadir ke Parlimen sehari RM400, rakyat juga bayarkan elaun perjalanan mereka, penginapan di hotel yang mewah, dapat macam-macam elaun, jadi datanglah (sidang Parlimen),” katanya. – 12 Julai, 2024