Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pembatalan kilang di Malaysia: Kamu tanya Tesla, kata Tengku Zafrul | Scoop

Pembatalan kilang di Malaysia: Kamu tanya Tesla, kata Tengku Zafrul

Ketika ditanya mengenai "apa yang mungkin berlaku seterusnya”, beliau sekali lagi berkata, tidak tahu dan meminta untuk bertanyakan perkara itu kepada Tesla

4:09 PM MYT

 

KULIM – Pengeluar kenderaan elektrik (EV) yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Tesla harus menjadi pihak yang menjawab laporan berita mengenai dakwaan keputusan syarikat itu membatalkan rancangan untuk membina kilang pengeluarannya di Asia Tenggara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau bukan individu sesuai untuk menjawab dakwaan tersebut.

“Kamu tanya kepada Tesla. Saya tidak bekerja untuk Tesla,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai laporan berita tersebut.

Ketika ditanya mengenai “apa yang mungkin berlaku seterusnya”, Zafrul berkata, beliau tidak tahu dan meminta untuk bertanyakan perkara itu kepada Tesla.

“Saya tidak tahu, kamu tanya kepada Tesla,” katanya.

Terdahulu, akhbar Thailand, The Nation dilaporkan memetik sumber kerajaan Thailand sebagai berkata, Tesla tidak akan membina kemudahan pembuatan EV sama ada di Thailand, Malaysia dan Indonesia.

“Tesla pada masa ini hanya membincangkan stesen pengecasan, dengan rancangan kilang itu digantung di seluruh dunia.

“Mereka tidak meneruskan di Malaysia, Indonesia atau di mana sahaja kecuali China, AS dan Jerman,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, diketahui bahawa Tesla belum komited secara rasmi untuk membina sebuah kilang di Malaysia.

Pada Julai tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi sebahagian daripada pelaburan berskala besar daripada Tesla.

Anwar juga berkata, puluhan ribu peluang pekerjaan mahir bakal direalisasikan menerusi pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman Tesla di Cyberjaya serta kerjasama di Petaling Jaya, Selangor. – 8 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Related