KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menepis ramalan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa Barisan Nasional (BN) berkemampuan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Pengarah Operasi PRK Nenggiri PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun kerusi tersebut pernah menjadi kubu kuat Umno sebelum ini, sejarah menunjukkan ahli dan penyokong Umno tidaklah fanatik terhadap parti itu.
Menurutnya, ahli Umno pernah meninggalkan parti itu dan menyokong Semangat 46 pada awal 90-an.
“Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, sekali lagi rakyat Nenggiri tidak memilih Umno/BN.
“Ini menjadi bukti bahawa rakyat Nenggiri mempunyai tahap kefahaman politik yang tinggi.
“Pandangan KJ (Khairy) bahawa mereka (ahli Umno) tidak lagi keliru mengundi BN adalah memberi laba politik kepada DAP adalah meleset,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Khairy menjangkakan BN ada peluang cerah untuk merampas kerusi Nenggiri antaranya kerana pengaruh bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah cukup besar di kawasan itu, selain 13% pengundi Nenggiri dalam kalangan Orang Asli.
Beliau berkata, percaturan menurunkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor, Orang Asli pertama dipilih menjadi Ahli Parlimen berkampung di pos Nenggiri dapat meningkatkan sokongan komuniti itu kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, pengaruh Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li tetap ada, tetapi majoriti orang Melayu menolak kerjasama politik antara Umno dan DAP, selain turut menolak kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Mereka mahu kekal dengan semangat dan perjuangan Umno sebenar dan menolak UMDAP. Justeru, trend dan gelombang tolak UMDAP dan Zahid tetap kuat.
“Orang Melayu faham Zahid hanya memperalatkan Ku Li untuk mengelak dari kesipuan dan kekalahan.
“Ku Li tentu tidak lupa bagaimana Zahid dan ‘troopersnya’ menghina beliau semasa bertanding jawatan Presiden Umno melawan Zahid dan KJ,” katanya.
Sementara itu, Annuar mendakwa Ku Li juga tidak berkempen secara ‘all out’ untuk calon BN kerana ia pilihan Zahid dan kroninya.
“Sama ada faktor Ku Li, DAP dan Zahid akan menyebabkan Umno-BN menang ataupun kalah, boleh dilihat nanti setelah pengundian dilakukan oleh rakyat Nenggiri.
“Kita jadikan pandangan KJ sebagai amaran agar kita tidak sombong atau leka. Kita menyusun langkah dan strategi cara kita,” katanya.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon BN dan PAS.
Ia menyaksikan pertembungan membabitkan calon BN, Mohd Azmawi Fikri sementara PAS mempertaruhkan, Mohd Rizwadi Ismail.
Dalam pilihan raya lalu, calon PN daripada Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff. – 7 Ogos, 2024