KUALA LUMPUR – Tuntutan parti Amanah ke atas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah ‘isyarat’ supaya Pakatan Harapan (PH) dan parti komponennya diberikan peranan di peringkat negeri Johor.
Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda ketika memberitahu Scoop berkata, kerajaan negeri Johor di bawah Barisan Nasional (BN) masih belum terbina atas semangat Kerajaan Perpaduan sedangkan Melaka yang mengadakan pilihan raya sebelum ini, sudah dibentuk atas kesepakatan bersama.
Fadhli bagaimanapun berkata, Amanah negeri Johor akur dengan gesaan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Sabu supaya tuntutan ke atas kerusi itu tidak dibincangkan menerusi media.
“Kita akur arahan Presiden dan akan patuh apa sahaja persetujuan dicapai peringkat nasional tetapi ‘isyarat’ daripada anak muda peringkat akar umbi ialah kita hendakkan PH dan Amanah diberikan peranan di peringkat negeri.
“Kenapa Johor hingga hari ini tidak boleh? Mungkin bukan dari segi agihan jawatan Exco tetapi di peringkat akar umbi seperti ahli majlis atau ketua kampung kerana komponen PH langsung tidak dilibatkan,’’ katanya.
Baru-baru ini, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu meminta supaya isu tuntutan kerusi DUN Mahkota tidak dibahaskan di media memandangkan perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.
Arahan itu turut mendapat perhatian Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan yang meminta supaya Amanah Johor tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan kedudukan DUN Mahkota.
Ia susulan gesaan daripada Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain yang meminta supaya kerusi DUN Mahkota diberikan kepada parti berkenaan, yang pernah memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding di situ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022.
Namun tindakan Amanah itu mengundang kemarahan Pemuda Umno Johor yang menyifatkan ia sebagai gelojoh dan tamak.
Menurut Ketua Pemudanya, Noor Azleen Ambrose, Amanah juga tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain malah sikap ditunjukkan kepimpinan parti berkenaan di Kluang hanya menzahirkan kiblat kuasa, tanpa meletakkan sempadan nilai simpati dalam amalan berpolitik.
Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang akibat pendarahan dalaman.
Beliau adalah bekas Ketua Wanita Umno Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. – 7 Ogos, 2024