KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan dokumen penting melibatkan syarikat industri minyak sawit.
Suspek wanita berusia 40-an direman selama tiga hari iaitu sehingga 5 Ogos ini manakala dua suspek lelaki berusia 40 hingga 50-an direman lima hari, sehingga 7 Ogos.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noraina Shariful Anuar setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan sekitar jam 10 malam semalam hingga 1 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek wanita yang bertugas sebagai Pengurus Akaun ditahan kerana disyaki terlibat dengan transaksi penerimaan rasuah.
“Dua suspek lelaki yang merupakan setiausaha syarikat ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan beberapa dokumen penting berkaitan Call Option Agreement (COA).
“Dokumen ini dipercayai disembunyikan oleh setiausaha syarikat untuk melambatkan pihak kedua daripada melaksanakan perjanjian COA yang telah ditandatangani pada Mac 2021 dan melengahkan penghakiman kes saman sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2022,” katanya.
Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, sumber ketika ditanya nilai rasuah yang didakwa dilakukan ketiga-tiga suspek memberitahu, ia masih dalam sisatan SPRM. – 3 Ogos, 2024