GUA MUSANG – Barisan Nasional (BN) akan memberi fokus kepada isu masyarakat setempat di Nenggiri dengan bantuan jentera Pakatan Harapan (PH), sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata jentera parti yang diselaras Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK berkenaan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, akan menyasarkan kesemua 20 pusat daerah mengundi (PDM) untuk menyantuni masyarakat setempat.
“Sama ada pengundi itu dari kampung tradisi, Orang Asli, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) atau Felda, kita akan lakukan sesuatu yang sangat terbaik pada (PRK) kali ini.
“… isu nasional jika ada pun akan diberi penjelasan oleh jentera parti di setiap peringkat,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini, hari ini.
PRK berkenaan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail. – 3 Ogos, 2024