Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Polis tahan 5 pekerja kontraktor disyaki curi kabel projek LRT 3 | Scoop

Polis tahan 5 pekerja kontraktor disyaki curi kabel projek LRT 3

Mohd Shuhaily berkata kumpulan berkenaan bergerak aktif hampir setahun dengan mencuri kabel yang berfungsi sebagai pengalir arus elektrik ke bumi

6:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan kumpulan pencuri kabel di tapak pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) membabitkan kerugian RM2.5 juta dengan penahanan lima lelaki termasuk seorang warganegara Pakistan di tiga tapak projek berkenaan, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua mereka berusia antara 32 hingga 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di tapak projek LRT 3 di Seksyen 2 dan Seksyen 14 di Shah Alam serta di Kayu Ara Damansara antara 6.30 petang hingga 9 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua lelaki terbabit ialah pekerja syarikat kontraktor yang dilantik bagi pembinaan LRT 3 yang mempunyai akses ke tapak pembinaan.

“Suspek akan mencuri kabel di tapak pembinaan dengan membawa keluar kabel tersebut menggunakan lori yang disewa khas. Kabel itu kemudian dipotong dan dijual ke kedai barang-barang lusuh sekitar Klang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata kumpulan berkenaan bergerak aktif hampir setahun dengan mencuri kabel yang berfungsi sebagai pengalir arus elektrik ke bumi.

Beliau berkata sebanyak 15 laporan polis telah dibuat pemilik projek di Shah Alam dan Klang berhubung kecurian berkenaan.

Kesemua suspek ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A dan 379 Kanun Keseksaan. – 2 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Related