KUALA LUMPUR – Tindakan PAS yang sengaja memanjang dan ‘memanaskan’ isu sumbangan syarikat arak kepada sekolah vernakular, dianggap strategi untuk menarik sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Bercakap kepada Scoop, penganalisis politik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof. Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, ia kerana PAS memfokuskan untuk memenangi pilihan raya berkenaan.
Justeru, katanya, parti itu mengharapkan sokongan pengundi di PRK DUN Nenggiri berterusan dan dilonjakkan.
“Jadi isu etnik dan isu agama ini memang sentiasa digunakan PAS untuk kempen politik, ini bahagian daripada kempen PRK DUN Nenggiri.
“Kita tahu pengundi Cina langsung tidak signifikan di (PRK DUN) Nenggiri, sebab itu lah PAS berani bermain dengan isu arak ini,” katanya.
Awang Azman berkata, namun dari segi jangka panjang, strategi digunakan PAS itu akan merugikan ‘diri sendiri’.
Katanya, pendekatan berpolitik itu akan membuatkan pengundi Cina dan bukan Islam, menjauhi PAS kerana dianggap mengetepikan realiti bahawa Malaysia adalah negara multirasial.
Hakikatnya, beliau berkata, kes dana disumbangkan syarikat arak itu adalah amalan lama yang tiada sebarang isu dan tidak sewajarnya dipolemikkan PAS.
Menjawab mengapa PAS dan Gerakan dilihat sukar ‘sebulu’, Awang Azman seperti diketahui, kedua-dua parti berkenaan mempunyai ideologi politik berbeza.
Menurutnya, PAS bersikap konservatif berhaluan kiri, malah kadang-kadang agak ekstrim, manakala Gerakan bersifat moderat.
“Perbezaan ideologi politik ini yang mencetuskan perbezaan pandangan berpolitik, jadi ini yang berlaku kepada PAS dan Gerakan.
“Ia semacam perkahwinan paksa dalam ikatan politik,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan pemimpin Gerakan bahawa parti itu tidak teragak-agak keluar Perikatan Nasional (PN) susulan isu berkaitan, Awang Azman berkata, ia tidak memberi sebarang makna kepada parti berkenaan.
“PN masa depan pun tak menentu. Mungkin jika Gerakan keluar daripada PN ia tak membawa apa kesan pun kepada PN atau Gerakan sendiri,” katanya.
Isu sumbangan daripada syarikat arak terbabit tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu menghadiri majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang, baru-baru ini.
Perkara itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan pelbagai pihak susulan memperlihatkan syarikat arak turut hadir dan memberi dana kepada sekolah yang dianggap tidak bermoral, selain bercanggah garis panduan KPM.
Justeru kontroversi itu, Datuk Dominic Lau yang juga Presiden Gerakan berkata, syarikat berkaitan arak atau rokok tidak wajar dihalang memberi dana kepada sekolah aliran Cina, memandangkan selama ini institusi pendidikan berkenaan tidak menerima dana mencukupi dari kerajaan untuk beroperasi.
Susulan pendirian rasmi Gerakan berhubung isu terbabit, pemimpin PAS memberi bayangan parti itu mungkin tidak akan bersama Gerakan di bawah gabungan politik serupa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.
Pilihan raya itu diadakan susulan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan mulai 19 Jun lalu. – 2 Ogos, 2024