KUALA LUMPUR – Cadangan undang-undang baharu untuk menangani isu keselamatan dalam talian termasuk buli siber akan merangkumi peruntukan tatacara dan penguatkuasaan ‘kill switch’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia juga antara lain akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan internet untuk memerangi jenayah siber termasuk penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual.
Menurutnya, kerajaan akan membentangkan cadangan undang-undang itu pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini.
“Kerajaan juga sedang mengkaji cadangan meminda Kanun Keseksaan untuk mengklasifikasikan dan mendefinisikan kesalahan buli siber serta cadangan pindaan berbangkit terhadap Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan peruntukan jenayah buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari tahun depan.
Katanya, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Komunikasi melalui MCMC, akan menjalankan kajian sosial berkenaan keselamatan dalam talian bagi memperoleh pandangan dan sentimen pelbagai pihak termasuk orang awam berkenaan isu tersebut.
Katanya, kajian itu akan melengkapkan usaha kerajaan dalam menggubal undang-undang keselamatan dalam talian bagi memastikan undang-undang yang bakal dikuatkuasakan adalah holistik, relevan dan mencakupi semua aspek dan melindungi semua lapisan masyarakat.
“Pelbagai langkah dan usaha akan terus digerakkan kerajaan bersama semua pihak berkepentingan supaya penguatkuasaan undang-undang baharu ini benar-benar berkesan.
“Selain itu ia diharap dapat mencapai hasrat penggubalannya dalam melindungi hak dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina berkata, BHEUU, JPM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melalui MCMC dan United Nations Office of Drugs and Crime (UNODC) juga akan menganjurkan Persidangan Perundangan Antarabangsa berkenaan Ancaman Dalam Talian 2024 pada 5 dan 6 September ini.
“Persidangan itu bakal dihadiri beberapa pakar dan pejuang akauntabiliti dan tatakelola media sosial terkemuka antarabangsa seperti Frances Haugen dan Taylor Owen.
“Ia akan membincangkan isu berkenaan ancaman dalam talian seperti keselamatan kanak-kanak, jenayah siber dan isu kawal selia media sosial terutama dengan kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya. – 28 Julai, 2024