KUALA LUMPUR – Johor berhasrat melancarkan sekolah rintis Johor atau ‘pilot schools’ bagi mencorakkan masa depan pendidikan Bangsa Johor yang lebih maju dan berdaya saing bermula tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Tumpuan khusus katanya, akan diberikan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Engineering, Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris.
“Sebagai permulaan, ia akan melibatkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang sedang ditentukan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri,’’ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Onn Hafiz, ia juga selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti.
Onn Hafiz turut mengharapkan sekolah rintis itu akan membuahkan hasil yang baik demi masa depan Johor. – 27 Julai, 2024