Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Lelaki ekori jurubahasa sebelum baling batu besar ke kereta mangsa | Scoop

Lelaki ekori jurubahasa sebelum baling batu besar ke kereta mangsa

Polis mengesan penunggang motosikal yang dipercayai membaling batu menyebabkan cermin belakang kereta seorang jurubahasa pecah dalam kejadian di Jalan SS14, Subang Jaya pada 14 Julai lalu

6:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis mengesan penunggang motosikal yang dipercayai membaling batu menyebabkan cermin belakang kereta seorang jurubahasa pecah dalam kejadian di Jalan SS14, Subang Jaya pada 14 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 42 tahun yang diekori seorang lelaki tidak dikenalinya.

Menurutnya, sebaik sahaja mangsa bersama suaminya memasuki persimpangan Jalan Jengka SS17, Subang Jaya, dia terdengar bunyi hentakan kuat di bahagian belakang kenderaan jenis Perodua Myvi dipandunya.

“Mangsa turun membuat pemeriksaan dan mendapati cermin belakang kenderaan itu pecah.

“Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM400,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak.

Katanya, mangsa juga tidak mengenali suspek yang dilihat pada kamera papan pemuka (dashcam) yang dipasang di belakang kenderaan terbabit.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Mana-mana pihak yang ada maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat, Ahmad Faizal Shaikh Abd Rahim di talian 019-7506606 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang penunggang motosikal mengekori sebuah kenderaan sebelum bertindak membaling batu besar ke arah kereta terbabit.

Rata-rata netizen berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu selain meminta orang ramai supaya berhati-hati ketika melalui kawasan kejadian.

“S*** perangai, dapat kau ni elok langgar je,” kata @fa_yyad13.

“Apa motif dia?” soal @kelvinlym.

“Seramnya. Kenapalah makin lama makin ramai macam ni?” soal @hitomi0595. – 23 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related